KHAIRY (tengah) percaya Hamidin mampu dan layak jadi Presiden FAM. -Foto fail
KHAIRY (tengah) percaya Hamidin mampu dan layak jadi Presiden FAM. -Foto fail
Rosli Ilham dan Zarina Abdullah


PELUANG Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semakin kukuh apabila pemimpin sukan nombor satu negara, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil menyokong pencalonannya.

Bercakap selepas meletak batu asas Projek Pembinaan Kompleks Velodrom Berbasikal Azizulhasni Awang di Kampung Balai Besar, hari ini, Khairy menegaskan sokongannya itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Secara peribadi bagi saya yang layak menduduki kerusi itu adalah Hamidin biarpun Presiden FAM mesti dipilih melalui pemilihan.

“Beliau (Hamidin) lebih layak dan perkara itu terpulang kepada ahli gabungan FAM dan persatuan bolasepak negeri tapi bagi saya yang layak menerajui FAM ialah Hamidin,” katanya.

Khairy berkata, untuk menjadi Presiden FAM, seseorang itu sudah tentu mempunyai pengalaman luas di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebelum ini, Hamidin pernah menerajui Persatuan Bola Selangor ketika saya menjadi Timbalan Presiden FAM dan Hamidin juga banyak membantu melaksanakan dasar yang dirangka FAM.

“Jadi, saya percaya Hamidin adalah yang terbaik kerana beliau melalui banyak pengalaman di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Ketika diaju soalan sama ada beliau perlu duduk di kerusi nombor satu FAM itu, Khairy hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya.

Terdahulu, selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM Ahad lalu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat kejutan apabila mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.

Selain menyifatkan Hamidin sebagai calon paling layak, Tunku Ismail juga mengesyorkan Timbalan Presiden, Datuk Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden hingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.

Biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail dan Khairy, namun keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan sekiranya terdapat pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 7:17 PM