COO syarikat konsesi lebuh raya yang direman kerana disyaki menerima rasuah. FOTO Ihsan Pembaca
COO syarikat konsesi lebuh raya yang direman kerana disyaki menerima rasuah. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Seorang Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat konsesi lebuh raya direman empat hari sehingga Jumaat ini kerana disyaki menerima rasuah lebih RM300,000 membabitkan pembinaan projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai kira-kira RM6 bilion.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia kira-kira 50-an ditahan pada jam 8 malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

"Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah lebih RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 billion," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:21 PM