REGRAGUI (tengah) berkata sesuatu kepada jurulatih Maghribi, Walid Regragui. FOTO EPA
REGRAGUI (tengah) berkata sesuatu kepada jurulatih Maghribi, Walid Regragui. FOTO EPA
AFP

Al Khor: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui sangat bangga dengan kemenangan 2-0 ke atas Maghribi, hari ini yang menyaksikan juara bertahan itu sekali lagi mara ke pentas final Piala Dunia bertemu Argentina.

Deschamps pada masa sama menegaskan akan cuba mencari jalan untuk mengekang Lionel Messi yang ketika ini berada pada prestasi cemerlang.

"Saya amat bangga. Sangat istimewa dapat melangkah ke final tetapi ia bukanlah kemenangan yang mudah," kata Deschamps.

Beliau menyaksikan gol pertama Theo Hernandez serta jaringan lewat permainan menerusi pemain gantian, Randal Kolo Muani di Stadium Al Bayt membolehkan Perancis menyingkirkan pasukan pertama benua Afrika pertama yang melangkah ke separuh akhir Piala Dunia.

"Kami memerlukan gabungan kualiti, pengalaman dan semangat berpasukan. Ketika waktu sukar kami perlu berusaha lebih keras tetapi secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dan bangga dengan barisan pemain saya," katanya.

Perancis menyasarkan untuk muncul pasukan pertama dalam tempoh 60 tahun memenangi gelaran Piala Dunia berturut-turut selepas kemenangan berganda Brazil pada 1958 dan 1962.

Bagaimanapun mereka mesti bersedia untuk menghadapi Argentina yang diperkuat oleh Messi dan mahu membalas dendam kekalahan 3-4 pada pusingan 16 terakhir empat tahun lalu.

"Messi berada pada prestasi terbaik sejak awal saingan ini. Empat tahun lalu situasinya agak berbeza apabila di beraksi sebagai penyerang tengah sedangkan sekarang dia bermain di bahagian paling depan atau di belakang penyerang.

"Dia nampak cergas dan sudah pasti dia adalah seorang pemain terhebat di dunia, jadi kami akan cuba mematikan ancaman Messi semampu yang mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 8:07 AM