PAUL Pogba terlepas sesi latihan Perancis untuk menjalani rawatan semalam. - Foto REUTERS
PAUL Pogba terlepas sesi latihan Perancis untuk menjalani rawatan semalam. - Foto REUTERS

PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba terlepas sesi latihan Perancis untuk menjalani rawatan semalam ketika anak buah Didier Deschamps bersiap sedia bagi aksi persahabatan menentang Colombia, awal pagi Sabtu ini.

Pogba, rakan sepasukannya di United, Anthony Martial dan pemain sayap Marseille, Florian Thauvin menjadi mangsa ‘terjahan kecil’, menurut pegawai pasukan Perancis.

Kelmarin, Pogba berlatih seperti biasa manakala Martial dan Thauvin menerima rawatan.

Sementara itu, pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny dan pemain tengah Bayern Munich, Corentin Tolisso berlatih dengan pakar fisio, berjauhan daripada skuad utama.

Koscielny dikeluarkan pada aksi Liga Europa menentang AC Milan minggu lalu kerana masalah belakang yang dianggap pengurus Arsene Wenger sebagai ‘tidak serius’.

Tolisso mengalami lebam di tulang kering kanannya awal bulan ini dan terlepas aksi Bayern menentang RB Leipzig, Ahad lalu.

Selepas bertemu Colombia, Perancis menuju ke Saint Petersburg untuk berdepan Russia pertengahan minggu depan dalam perlawanan terakhir mereka sebelum jurulatih Deschamps mengumumkan skuad 23 pemain ke Piala Dunia pada 15 Mei depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 9:41 AM