ERIC CANTONA
ERIC CANTONA
AFP

BEKAS kapten Perancis, Eric Cantona menarik perhatian minggu ini apabila kehadirannya pada sesi latihan Peru mencetus teori konspirasi menjelang Piala Dunia.

Perancis akan bertemu Peru pada peringkat kumpulan Piala Dunia yang turut menampilkan Australia dan Denmark.

“Seorang pengintip menilai pasukan Peru,” menjadi tajuk akhbar Trome, yang turut menunjukkan gambar Cantona bersebelahan pengendali Peru, Ricardo Gareca.

“Bagaimana pihak berkuasa membenarkan kehadiran warga Perancis,” soal akhbar harian Peru itu.

Pemerhati di Perancis sedia maklum hubungan baik antara Cantona dan pengendali Perancis, Didier Deschamps yang pernah dipanggil pemain itu sebagai “tukang bawa air” (menggambarkan seorang pemain yang bekerja keras tapi bukan bintang).

“Musuh dalam rumah,” kata akhbar sukan Libero yang berharap Cantona yang sedang merakam dokumentari, tidak menyampaikan maklumat pasukan Peru kepada Deschamps.

Bekas penyerang yang paling diingati kerana tendangan ala kung fu terhadap penyokong itu, terbabit dalam rakaman siri dokumentari berkaitan bola sepak.

Perancis dan Peru bertembung pada 21 Jun di Yekaterinburg, Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 5:23 PM