THOMAS mencatat tiga bawah par 67 awal pagi tadi. FOTO/AFP
THOMAS mencatat tiga bawah par 67 awal pagi tadi. FOTO/AFP
AFP

LOS ANGELES: Justin Thomas membenam enam birdie dalam laluan mencatat tiga bawah par 67 awal pagi tadi untuk mendahului tiga pukulan selepas pusingan ketiga pada kejohanan Jemputan WGC Bridgestone manakala cabaran Tiger Woods semakin pudar.

Thomas, yang mempertahankan gelaran Kejuaraan PGA minggu depan pada kejohanan utama terakhir tahun ini, menemui sentuhan permainannya pada masa yang tepat.

Pemenang dua kejuaraan awal musim ini, dia berakhir dalam kelompok 10 teratas hanya sekali dalam lapan kejohanan terakhir disertainya.

Satu atas par selepas lima lubang pertama sesudah satu birdie dan dua bogey, dia menghasilkan lima birdie pada sembilan lubang kedua untuk menjarakkan dirinya daripada kelompok yang mengejar.

“Saya hanya perlu terus keluar ke sana dan bermain baik esok kerana ramai pemain bagus mengejar saya,” kata Thomas, yang akan bermain dalam kumpulan terakhir bersama bintang Ireland Utara, Rory McIlroy.

McIlroy mencatat tiga bawah par 67 untuk berkongsi tangga kedua dengan 199 bersama pendahulu sebelumnya Ian Poulter dari England, yang merakam 70.

Bekas pemain nombor satu dunia Jason Day berseorangan dengan 200 selepas 69.

Woods, pemenang lapan kali di Firestone Country Club, yang menjadi hos Bridgestone buat kali terakhir, tidak mampu mengekalkan rentaknya.

Dia memulakan saingan lima pukulan di belakang dan mencatat tiga atas par 73 sekali gus menyaksikannya ketinggalan 11 pukulan.

“Saya tiada masalah cuma permainan saya mengarut,” kata Woods. “Saya tidak memanaskan badan dengan bagus, tidak memukul bola dengan sebaik mungkin. Agak sama seperti hari pertama. Bezanya pada hari pertama saya berjaya menangani setiap masalah. Hari ini saya tidak mampu melakukan apa-apa.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 11:05 AM