COUTINHO fokus buru kemenangan Reds.
COUTINHO fokus buru kemenangan Reds.
AFP

LONDON: Philippe Coutinho enggan menyuarakan komitmennya bersama Liverpool dan berkata tidak tahu sama ada dia menjadi subjek bidaan pada jendela perpindahan Januari ini.

Barcelona beberapa kali cuba mendapatkan khidmat perancangan Brazil itu pada perpindahan musim panas lalu tetapi ia sentiasa ditolak sekali gus mengecewakan kelab Catalan itu.

Sejak itu, spekulasi membabitkan masa depannya bersama The Reds berterusan dan selepas meledak hatrik ketika Liverpool membelasah Spartak Moscow 7-0, semalam, kelab gergasi itu dilaporkan sedia untuk membawanya ke Sepanyol.

“Saya sekarang berada di Liverpool dan saya sentiasa melakukan yang terbaik apabila saya berpeluang untuk bermain, menghormati jersi dan juga para penyokong,” kata Coutinho yang sudah menjaringkan sembilan gol dalam 13 penampilan musim ini.

“Saya tidak tahu bagaimana masa depan saya. Apa yang akan berlaku pada Januari, kita akan ketahuinya pada Januari. Saya tidak tahu sama ada akan wujud sebarang tawaran.

“Pada musim panas lalu, ada tawaran seperti yang terjadi kepada mana-mana pekerja dan saya berminat. Apabila saya kekal, saya perlu bermain dengan sepenuh keinginan dan tanggungjawab.”

Hatrik di Spartak adalah yang pertama buat Coutinho bersama Liverpool dan dia menggambarkan kejayaan kelab itu mara ke pusingan berikutnya sebagai masa yang membanggakan.

“Ia adalah malam yang istimewa kerana keputusannya dan juga saya mendapat memakai lilitan di lengan dalam perlawanan yang amat penting buat kelab seperti Liverpool,” kata Coutinho mengulas tugasnya di Anfield.

“Sudah pasti ini adalah hatrik saya yang palik mustahak. Di Liga Juara-Juara, ia adalah yang pertama buat saya. Saya melakukannya sekali untuk Brazil tetapi ia tidak sepenting ini.”

Pertahanan, Joe Gomez berkata kelab-kelab terbaik Eropah kini mempunyai alasan untuk takut dengan Liverpool.

The Reds menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan menjaringkan 23 gol, kedua terbanyak di belakang Paris Saint-Germain (PSG) (25 gol) dalam kempen musim ini.

Sekali pun berjaya mengelak beberapa gergasi seperti PSG dan Barcelona, antara pasukan yang berpotensi untuk ditemui di peringkat 16 terakhir adalah juara Jerman, Bayern Munich, juara Itali dan Juventus penyandang juara Eropah Real Madrid.

“Kami percaya kami boleh menewaskan sesiapa saja dan kami perlu untuk mempunyai mentaliti itu,” kata Gomez.

“Kami mempunyai kualiti yang hebat dan mereka boleh takut kepada kami sama seperti kami bimbang dengan mereka jadi ia adalah bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 1:09 AM