KLOPP (kanan) berat hati melepaskan  Coutinho. FOTO/AFP
KLOPP (kanan) berat hati melepaskan Coutinho. FOTO/AFP
AFP

BARCELONA: Philippe Coutinho akhirnya mendapati apa yang dihajatinya hari ini apabila Barcelona bersetuju membeli bintang Liverpool dari Brazil dengan harga 160 juta euro (RM769.3 juta) iaitu kontrak ketiga termahal sepanjang zaman.

“Barcelona dan Liverpool mencapai persetujuan berhubung perpindahan Philippe Coutinho. Pemain itu akan menandatangani kontrak untuk baki musim ini dan lima tahun lagi dengan klausa pelepasan sebanyak 400 juta euro (RM1.92 bilion),” demikian menurut Barcelona dalam satu kenyataan.

Kontrak untuk pemain tengah berusia 25 tahun itu adalah yang ketiga termahal dalam bola sepak selepas 222 juta euro (RM1.06 bilion) yang dibayar Paris Saint-Germain kepada Barcelona untuk bintang Brazil Neymar tahun lalu dan 180 juta euro (RM865.5 juta) yang akan dibayar PSG kepada Monaco untuk Kylian Mbappe sebaik tempoh pinjaman pemain Perancis itu ke kelab juara Ligue 1 itu berakhir.

“Dengan berat hati, kami sebagai sebuah pasukan dan kelab bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada seorang rakan baik, insan yang hebat dan pemain menakjubkan iaitu Philippe Coutinho,” kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp menerusi laman web rasmi kelab itu.

COUTINHO (dua dari kanan) cemerlang bersama Liverpool. FOTO/AFP
COUTINHO (dua dari kanan) cemerlang bersama Liverpool. FOTO/AFP

“Bukan rahsia lagi apabila Philippe mahukan perpindahan ini sejak Julai lalu apabila Barcelona mula menunjukkan minat mereka.

“Philippe menegaskan kepada saya, pemilik dan juga rakan sepasukan bahawa inilah perpindahan yang mahu dilakukannya.”

Coutinho, pemain kelahiran Rio de Janeiro tiba di Anfield dari Inter Milan dengan harga £8.5 juta (RM46 juta) dan menjaringkan 54 gol dalam semua kejohanan dalam tempoh itu meskipun tidak pernah menjulang sebarang gelaran sepanjang lima tahun itu.

Barcelona cuba mendapatkannya pada musim panas, namun pemergiannya satu tamparan buat Liverpool selepas pengatur serangan itu kembali mempamerkan aksi hebat selepas mengalami kecederaan pada awal musim.

Dia menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir 2017 dan meletakkan pasukannya dalam kelompok kelayakan Liga Juara-Juara.

Kejayaan mendapatkan Coutinho membolehkan Barcelona melupakan keperitan kehilangan rakan senegaranya Neymar musim panas lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:54 AM