Aksi pemain tengah Barcelona Philippe Coutinho (dua kanan) dihalang pemain Levante UD pada perlawanan La Liga baru-baru ini. FOTO AFP.
Aksi pemain tengah Barcelona Philippe Coutinho (dua kanan) dihalang pemain Levante UD pada perlawanan La Liga baru-baru ini. FOTO AFP.
AFP

LIVERPOOL seperti sudah terbiasa melihat ‘aset’ terbaiknya dipancing gergasi Sepanyol sejak sedekad lalu tetapi penjualan Philippe Coutinho ke Barcelona membina asas bagi pembangunan semula di Anfield.

Coutinho yang bergelut untuk menyamai harga mahalnya RM759.76 juta (£142 juta) akan berdepan bekas kelabnya itu di Nou Camp, awal pagi Khamis ini apabila Liverpool berkunjung ke Catalonia bagi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Liverpool memperoleh pengajaran berharga berikutan penghijrahan Xabi Alonso dan Javier Mascherano ke Real Madrid serta Barcelona apabila prestasi pasukan kurang menyengat ketika era Rafael Benitez.

Situasi sama berulang apabila mereka kehilangan penyerang berbisa, Luis Suarez ke Barca lima tahun lalu.

Apabila juara Sepanyol itu terdesak untuk menambah deretan pemain bintang sejurus Neymar menyertai Paris Saint-Germain pada Ogos 2017, pihak pengurus Reds bertindak pantas dengan meningkatkan harga jualan Coutinho.

Coutinho akhirnya memperoleh perpindahan yang diimpikan pada Januari 2018 tetapi kerja keras yang dilakukan Jurgen Klopp bagi mengembalikan gemilang juara lima kali Eropah itu sudah pun mula menampakkan hasilnya.

Virgil van Dijk yang bernilai RM401.27 juta (£75 juta) dibawa masuk dari Southampton yang menjadikan pemain Belanda itu pertahanan termahal dunia dan menjadi persoalan banyak pihak.

Bagaimanapun, impak yang diberikan Van Dijk terhadap transformasi Liverpool berhasil apabila dia menjadi pertahanan pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA 2019 sejak kali terakhir 14 tahun lalu.

“Sejak daripada mula saya amat teruja dengan peluang untuk kami bekerja bersama dan kini kamu adalah orangnya,” kata Klopp mengucapkan tahniah kepada tonggak pertahanannya itu.

Sepanjang lima tahun di Anfield, Coutinho menjaringkan banyak gol menakjubkan namun dia tidak memenangi trofi dan Liverpool hanya layak beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara sebanyak dua kali ketika itu.

Berbanding Van Dijk, selepas lima bulan menyarung jersi Reds, dia membantu kelab itu menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan empat terbaik dan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu sebelum tewas kepada Real Madrid.

Lebihan daripada duit penjualan Coutinho turut digunakan untuk memancing beberapa lagi pemain antaranya penjaga gol nombor satu Brazil dari Roma, Alisson Becker.

Sementara Klopp turut memperkuatkan barisan tengah dengan kehadiran Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri musim panas lalu.

Bagi mengelak situasi seperti Coutinho berulang, Liverpool turut mengikat tiga penyerang prolifiknya Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino dengan kontrak jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 12:53 PM