Mazizul Dani


POKOK akan ditanam bagi setiap pingat emas dimenangi atlet Malaysia dan nama nama atlet terbabit akan dipaparkan pada pokok berkenaan melalui Inisiatif Hijau Sukan Sea 2017 atau KL2017 yang akan menanam 5,249 pokok.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, pokok yang ditanam bagi pingat emas dimenangi kontinjen negara itu akan dilakukan pada fasa ketiga inisiatif berkenaan.

Menurutnya, program itu akan menanam 5,249 pokok sehingga Mac 2018, sama dengan jumlah pingat dipertandingkan di Sukan Sea 2017 bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan pemulihan hutan untuk pemuliharaan biodiversiti.

“Program ini mula dirancang berikutan kesedaran akan ada pelepasan karbon ketika temasya KL2017.

"Penanaman pokok ini akan mengimbangi karbon yang dilepaskan. Selain itu, selari dengan misi mahu meninggalkan legasi bermakna, kita juga menyokong usaha membaik pulih hutan," katanya berucap di majlis pelancaran program Satu Pingat, Satu Pokok yang juga fasa pertama program Inisiatif hijau berkenaan membabitkan empat fasa di Bandar Sukan Bukit Jalil, hari ini.

Menurutnya, fasa kedua ialah pemberian anak pokok kepada atlet di podium ketika mereka dikalungkan pingat.

“Fasa keempat pula, kami merancang menanam pokok di beberapa kawasan di Perak, Kelantan dan Terengganu iaitu lokasi sebahagian Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS)," katanya.

Antara usaha diperkenalkan melalui inisiatif ini ialah KL2017@School, Sukarelawan Hijau, galakan menaiki kenderaan awam, penyediaan perkhidmatan mesra alam seperti penggunaan basikal percuma dan perkhidmatan pengkomposan sisa makanan.

Khairy berkata, usaha ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk menjadikan KL2017 sebagai temasya hijau.

KL2017 berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos bagi Sukan Sea dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 12:28 PM
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (lima dari kanan), isteri Nori Abdullah dan dan anaknya Raif Averroes Khairy ketika bersama pokok yang ditanam ketika majlis pelancaran program Satu Pingat, Satu Pokok diperkarangan KL Sports City, Bukit  Jalill, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (lima dari kanan), isteri Nori Abdullah dan dan anaknya Raif Averroes Khairy ketika bersama pokok yang ditanam ketika majlis pelancaran program Satu Pingat, Satu Pokok diperkarangan KL Sports City, Bukit Jalill, hari ini. - Foto BERNAMA