NATASHA tekad rangkul emas buat negara. -Foto Osman Adnan
NATASHA tekad rangkul emas buat negara. -Foto Osman Adnan
BERNAMA

PEMAIN bowling negara Natasha Roslan mahu menjadikan penyertaannya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sebagai platform untuk diserapkan ke dalam Program Podium, program persediaan buat atlet elit.

Natasha, 21, juara remaja wanita dunia 2016 berkata, KL2017 memberi peluang terbaik buatnya untuk terus menempah kejayaan sekali gus mengukir nama dalam sukan itu.

“Walaupun saya bukan bawah Program Podium dan hanya ‘Kita Juara’, tapi ahli pasukan saya tidak pernah pandang rendah dan terus membantu saya untuk melakukan yang terbaik,” katanya selepas latihan di Sunway Mega Lanes, di sini hari ini.

Natasha antara atlet bukan di bawah Program Podium dalam skuad bowling negara selain Ahmad Muaz Fishol yang akan menggalas cabaran negara bersama 10 atlet Program Podium dalam KL2017.

Atlet Program Podium yang akan berentap pada KL2017 adalah Adrian Ang, Alex Liew, Rafiq Ismail, Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Sin Li Jane, Timmy Tan, Syafiq Ridhwan Malek, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Juara kategori wanita pada Kejohanan Kebangsaan itu turut menyasarkan untuk meraih pingat emas acara berpasukan dan sebarang pingat bagi acara individu wanita pada Sukan SEA ke-29 kali ini.

Natasha yang mula menyertai skuad kebangsaan sejak empat tahun lalu menghadiahkan pingat emas buat negara dalam kategori berpasukan wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Singapura 2015.

Skuad bowling negara mahu mengekalkan penguasaan dan menjadi juara keseluruhan sukan itu pada KL2017.

Di Singapura, skuad bimbingan ketua jurulatih Holloway Cheah menang lima daripada 11 pingat emas yang dipertandingkan selain satu perak dan empat gangsa. Pertandingan bowling akan berlangsung dari 21 hingga 25 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 2:01 PM