KHAIRY (tengah) menanam anak pokok ketika majlis Sesi Penanaman Anak Pokok Sempena Program ‘Satu Pingat, Satu Pokok: Kuala Lumpur 2017’ di Plaza, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KHAIRY (tengah) menanam anak pokok ketika majlis Sesi Penanaman Anak Pokok Sempena Program ‘Satu Pingat, Satu Pokok: Kuala Lumpur 2017’ di Plaza, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


PROGRAM Satu Pingat Satu Pokok yang dilaksanakan bersempena Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN ke-9 (KL2017) kini memasuki fasa ketiga apabila pemenang pingat emas dua temasya berkenaan menanam pokok sebagai tanda sokongan sempena Inisiatif Hijau KL2017.

Penanaman anak pokok di dua lokasi utama di kawasan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) iaitu bersebelahan Pusat Akuatik Nasional dan berdekatan Stadium Hoki Nasional dimulai Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku pemenang pingat emas dalam acara polo.

Khairy yang ditemui menegaskan biarpun KLK2017 sudah melabuhkan tirai dua bulan lalu namun misi untuk meneruskan legasi inisiatif Hijau masih belum tamat.

Katanya, beliau amat berpuas hati dengan inisiatif Hijau dengan beberapa kejayaan simbolik sepanjang temasya berlangsung dilakarkan.

“Di bawah inisiatif Hijau, kita berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 2703 tan karbon dioksida. Selain itu 49 peratus sisa pepejal di KL2017 berjaya dirawat dengan sasaran awal hanya 30 peratus.

“Hasil daripada pengurusan kecekapan tenaga kita juga berjaya menjimatkan 17 peratus penggunaan tenaga atau 917,000 kwh berbanding sasaran awal 15 peratus,” katanya.

Sementara itu Khairy menegaskan pendekatan inisiatif Hijau adalah pertama yang meninggalkan impak tinggi dan legasi kepada penanaman hijau.

Malah maklum balas positif diterima daripada negara bertanding yang kagum dengan idea negara dalam usaha menyelamatkan alam sekitar.

Majlis berkenaan turut disertai Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkples Embong.

Pada majlis itu sebanyak 235 pokok mewakili 145 dan 90 pingat emas yang dimenangi oleh atlet Malaysia akan ditanam.

Antara atlet yang hadir mengabadikan kejayaan mereka terdiri daripada Mohd Qabil Ambak, Tan Ing Yueh, Mohd Al Jufferi Jamari, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Ahmad Solihim Mohd Nor, Mohammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Mohd Najib Turano.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 4:10 PM