Kuala Lumpur: Cabaran pemain perseorangan negara berakhir pada kejohanan tenis Terbuka Malaysia selepas Ahmed Deedat Abdul Razak tewas pada pusingan kedua kelayakan, semalam.

Ahmed Deedat, 22, yang mendapat tiket wild card gagal meneruskan kecemerlangannya apabila tewas straight set kepada Michal Przysiezny dari Poland 1-6, 1-6 dalam masa 51 minit di Stadium Putra, Bukit Jalil.

“Saya belum bersedia dari segi fizikal dan teknikal. Tahap permainan hari ini adalah terlalu pantas untuk saya...dan saya belum sampai ke tahap itu.

“Kejohanan ini memberi pengalaman khususnya dari segi fizikal dan teknikal. Saya memerlukan lebih banyak kejohanan kompetitif untuk meningkatkan kualiti permainan,” katanya.

Sementara itu, pilihan utama pusingan kelayakan, Yuchi Sugita dari Jepun mara ke pusingan akhir kelayakan selepas menewaskan Andre Begemann dari Jerman 6-2, 6-1, begitu juga pilihan kedua, Luca Vanni dari Itali yang menang 6-4, 6-3 ke atas pemain Mexico, Santiago Gonzales.

Turut mara, pilihan kelima Matteo Donato dari Itali yang menewaskan wakil Australia, Harry Bourchier 6-2, 6-2, Yasutaka Uchiyama dari Jepun yang mengalahkan rakan senegaranya, Takao Suzuki 6-2, 6-2.

Sementara itu, pemain bukan pilihan, Artem Stak dari New Zealand turut mara ke pusingan akhir kelayakan selepas mengetepikan pilihan keenam, Thomas Fabbiano dari Itali 3-6, 6-4, 6-3 manakala Mischa Zverev dari Jerman menundukkan rakan senegara, Philipp Petzschner 7-6 (8/6), 6-4. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:09 AM