BERNAMA

KUCHING: Seramai 134 peserta, 76 lelaki dan 58 wanita dari 24 negara akan menyertai kejohanan Jelajah Tenis Dunia ITF J1 di pusat Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) pada 12 hingga 17 Mac.

Pengerusi penganjur, Datuk Patrick Liew berkata para peminat sukan itu dijangka dapat menonton beberapa aksi perlawanan sengit memandangkan kesemua peserta akan berhempas-pulas untuk memungut mata ITF bagi menaikkan kedudukan ranking mereka.

“Pemain ranking teratas dalam kategori perseorangan lelaki Holger Vitus Nodskove Rune dari Denmark, kini menduduki ranking ke-27 dunia juga akan hadir,” katanya pada majlis penyerahan kejohanan ITF World Tennis Tour J1 kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Kejohanan itu juga dikenali sebagai Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-33.

Terdapat 12 pemain Malaysia daripada cabutan pusingan kelayakan bagi kategori perseorangan lelaki iaitu Darrshan Suresh, Danial Ahmad Farid, Naufal Siddiq Kamaruzzaman, Christian Andre Sheng, Hayden Khoo, Cornelius Kee Hung, Mitsuke Wei Kang dan Jeo Chong Zhao.

Bagi perseorangan wanita, empat pemain Malaysia akan beraksi adalah pemain adik-beradik Elsa Wan dan Elysia Wan, Chloe Chong Zhi dan Sze Xuan Lim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:26 PM
Abang Johari (kanan) menerima piala kejohanan daripada Patrick. FOTO BERNAMA
Abang Johari (kanan) menerima piala kejohanan daripada Patrick. FOTO BERNAMA