FOKUS kepada pengeluaran lembu pedaging.
FOKUS kepada pengeluaran lembu pedaging.

LANGKAH graduan pengajian pembuatan dari kolej universiti tempatan mengusahakan ternakan lembu fidlot secara komersial sejak enam tahun lalu berbaloi apabila mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan dicalon sebagai Penternak Jaya 2024.

Aiman Asyraf Kamarudin, 33, yang mengusahakan projek itu selepas berhenti kerja dengan syarikat swasta di Kuantan, Pahang berkata, dia tidak menyangka usaha gigihnya mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mencalonkannya untuk anugerah itu.

"Saya terkejut apabila dihubungi pegawai Pejabat Veterinar Daerah Marang, Terengganu minggu lepas berkenaan pencalonan anugerah itu di peringkat daerah Marang," katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Tok Fakir, Merchang.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang ternakan, Aiman berkata, dia mengusahakan projek ternakan lembu fidlot secara kecil-kecilan bermula 2018.

Ia selepas mendapat tahu penternak tempatan hanya mampu membekalkan 30 peratus sahaja daripada keperluan bekalan daging negara manakala selebihnya diimport dari pelbagai negara.

Justeru, hasil dorongan keluarga, dia nekad berhenti kerja sebagai penyelia projek di sebuah syarikat di Kuantan lalu mengusahakan ternakan lembu fidlot di mana tumpuan diberi kepada lembu baka Brahman.

AIMAN begitu mencintai dunia penternakan lembu.
AIMAN begitu mencintai dunia penternakan lembu.

Selepas projek itu mendapat sambutan, dia mula menternak lembu sado pada 2022 dengan fokus mengeluarkan lembu pedaging baka Charolais dan Limousine.

Seterusnya AIDEN Cattle Farm yang diasaskan Aiman dan tiga adiknya enam tahun lalu kini memiliki lapan lembu sado dari baka Charolais dan Limousine serta 35 lembu baka Brahman.

Antara keistimewaan ternakan yang kami bela ialah diet ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata tetapi ia turut 'dihidangkan' dengan jagung yang dihancurkan, rumput segar dan silaj.

"Alhamdulillah maklum balas daripada peserta korban yang menyertai program pakej ibadah korban bersama syarikat kami, daging korban itu tidak berlemak, padat dan lembut," katanya.

Anak muda yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu berkata, kini syarikatnya menjadi antara pembekal lembu korban di negeri ini.

 DIET ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata.
DIET ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata.

Dia berperanan sebagai pengurus projek selain dibantu tiga adiknya yang mengendalikan urusan pentadbiran syarikat, kewangan dan pemasaran.

Kegigihan Aiman mengusahakan projek lembu sado mendapat pengiktirafan pihak berkuasa apabila AIDEN Cattle Farm dipilih sebagai 'Kandang Bimbingan' Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, awal tahun ini.

Melalui program ini, jabatan berkenaan sentiasa memantau kandang, menyediakan khidmat nasihat serta pengurusan dan menghulurkan bantuan keperluan industri ternakan dari semasa ke semasa.

"Saya sentiasa ikuti kursus bidang penternakan dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menambah pengetahuan di bidang ternakan," katanya.

Dia juga bersyukur Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Marang memberi khidmat nasihat kepada dalam mengendalikan ternakan secara lebih teratur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 6:31 AM