Ahmad Rabiul Zulkifli


"DUA ekor lembu baka yang diternak itu akan dikorbankan pada tahun ini, kedua-duanya dibeli oleh seorang ahli politik," kata Mohd Amirul Ibrahim ketika ditemui di kandang lembu miliknya di Kampung Banggol Che Hen, Bukit Tunggal, Kuala Nerus, hari ini.

Amirul, 34, berkata, lembu baka Charolais dan Belgian Blue itu dijual RM30,000 dan akan dikorban pada hari raya kedua Aidiladha di Ajil.

"Berat setiap seekor lembu baka itu ialah 975 hingga 950 kilogram (kg) bersamaan lima ekor lembu kampung.

"Anggaran jumlah daging yang diperoleh daripada setiap seekor lembu baka itu ialah sebanyak 400 kg setiap seekor berbanding lembu kampung hanya 80 kg hingga 120 kg seekor," katanya.

Tambahnya, sebanyak 80 ekor lembu kampung miliknya turut dijual bagi tujuan ibadah korban di sekitar Kuala Terengganu dan Marang pada tahun ini.

"Jualan lembu korban pada tahun ini meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu menyebabkan bekalan lembu tidak mencukupi.

"Jika diikutkan saya enggan menjual dua lembu baka yang diternak itu tetapi kerana tidak ingin menghampakan permintaan pelanggan, lembu kesayangan itu dijual juga.

"Dua ekor lembu baka itu akan disembelih oleh saya kerana itu permintaan pembelinya," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu (PPRMT).

Menurutnya, dia menceburi bidang penternakan lembu itu sejak berusia belasan tahun dan berbaloi mengusahakan perusahaan penternakan itu.

"Bidang penternakan lembu itu dilihat kotor dan sebagainya tetapi ia sebenarnya menghasilkan keuntungan besar.

"Modalnya besar tetapi risiko kerugian kecil kerana permintaan terhadap lembu sangat tinggi sekarang," katanya.

Sementara itu Pengerusi Masjid Jamek Kampung Gong Pak Jin, Ustaz Mohd Zaki Mat Yakim berkata, orang ramai yang ingin mengerjakan ibadah korban perlu memastikan ternakan yang ingin dikorbankan itu menepati piawaian ditetapkan.

"Harga semasa satu bahagian sekarang ialah RM600 hingga RM700 sebahagian bergantung kepada saiz lembu.

"Jika ada yang ambil bahagian sehingga RM200 sebahagian pasti ternakan yang ingin dikorbankan itu bermasalah dan sebagainya.

"Orang ramai perlu memahami konsep korban itu sendiri, lagi besar jumlah pengorbanan lebih baik dan afdal," katanya.

Menurutnya, lembu baka memang digalakkan dan sekarang menjadi trend untuk tujuan korban kerana ia memiliki banyak daging seterusnya memberi lebih banyak manfaat kepada orang yang memerlukan.

"Berkorban mengikut kemampuan masing-masing, jangan pula sampai menyusahkan diri dan keluarga kerana ibadah korban," katanya.

MOHD Amirul, Kampung Banggol Che Hen, Bukit Tunggal bersama lembu baka Belgian Blue seberat 975 kilogram yang akan dikorbankan pada perayaan Aidiladha. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Amirul, Kampung Banggol Che Hen, Bukit Tunggal bersama lembu baka Belgian Blue seberat 975 kilogram yang akan dikorbankan pada perayaan Aidiladha. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 1:31 PM