Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Seorang penternak lembu sado mengambil keputusan untuk menjual seekor lembu sado baka Charolais dengan harga RM14,000 bagi memenuhi permintaan pembeli untuk dijadikan korban pada Aidiladha ini.

Muhamad Taufiq Ramzi, 30, berkata walaupun hatinya berat untuk menjual lembu seberat lebih 500 kilogram (kg) itu, dia terpaksa berbuat demikian disebabkan faktor harga makanan (pallet) yang semakin mahal.

Menurutnya, dia nekad mengambil keputusan untuk menjualnya bagi mengelak kerugian lebih besar yang terpaksa ditanggung.

"Saya terpaksa pejam mata menjual Awang selepas menjaganya lebih dua tahun. Ikutkan hati tidak sanggup menjualnya, tapi apakan daya keadaan memaksa.

"Harga makanan (pallet) meningkat hampir setiap minggu dan harga terkini ialah RM48 untuk 50kg dan seekor lembu sado memerlukan 15kg hingga 20kg makanan sehari bergantung kepada saiz," katanya.

Taufiq yang menternak lembu di Kampung Pandan Satu, dekat sini, berkata dia kini memiliki 20 lembu sado betina baka Charolais dan Limousine dengan berat antara 400kg hingga 700kg.

Menurutnya, setiap kali menjelang Aidiladha, permintaan terhadap lembu sado untuk dijadikan korban begitu menggalakkan walaupun harganya tinggi berkali ganda berbanding lembu baka tempatan.

Katanya, harga lembu baka tempatan kini dijual antara RM4,000 hingga RM6,000 seekor bergantung pada saiz.

"Permintaan terhadap lembu untuk dijadikan korban pada Aidiladha kali ini begitu menggalakkan dan bercadang menambah jumlah ternakan bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya yang turut menternak ayam daging.

Penternak, Muhamad Taufiq Ramzi bersama lembu sado baka charolais yang dijual dengan harga RM14,000 untuk dijadikan korban pada Aidiladha. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Penternak, Muhamad Taufiq Ramzi bersama lembu sado baka charolais yang dijual dengan harga RM14,000 untuk dijadikan korban pada Aidiladha. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 7:05 AM