MEMPUNYAI mempunyai nilai yang tinggi.
MEMPUNYAI mempunyai nilai yang tinggi.
Hafiz Ithnin


Nor Faizi Mamat, 27, antara pengusaha ternakan, daging proses dan 'trading' lembu bersaiz gergasi atau lebih dikenali sebagai lembu sado.

Lembu sado sememangnya saiznya lebih besar menjadi tarikan sesiapa saja yang melihat kerana keunikannya.

Nor Faizi yang mengusahakan ternakan lembu sado baka limosin dan charolais sejak 2015 itu melihat haiwan ternakan itu mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding baka tempatan.

Meskipun berbekalkan modal permulaan yang agak tinggi bagi mendapatkan induk haiwan itu, namun ia memberi pulangan yang berbaloi kepada si penternak.

Katanya, pada 2015 dia mula membeli enam ekor lembu sado induk iaitu tiga baka limosin dan tiga charolais dengan modal permulaan kira-kira RM50,000.

Jelasnya, kira-kira 11 bulan selepas memiliki lembu induk itu, haiwan ternakannya mula bunting anak pertama dan membiak sehingga kini.

"Dari semasa ke semasa saya juga membeli lembu sado induk yang baharu dan kini di ladang saya sudah mempunyai 20 ekor lembu sado terdiri daripada kedua-dua baka berkenaan.

KANDANG menempatkan lembu sado yang diternak Nor Faizi.
KANDANG menempatkan lembu sado yang diternak Nor Faizi.

"Lembu sado ini lebih berbaloi untuk dijual berbanding baka tempatan kerana harga daging siap prosesnya bermula RM38 hingga RM80 sekilogram," katanya.

Katanya, ketika ini dia mempunyai lembu sado paling berat mencecah 960 kilogram dan terdapat juga anak lembu sado terdiri daripada kedua-dua baka itu sedang menunggu tempoh matang untuk disembelih atau dijadikan induk.

"Lembu sado mengambil masa matang melebihi usia dua tahun untuk disembelih dan harga jualan dagingnya juga lebih tinggi menyebabkan saya tertarik untuk menjadi pengusaha haiwan ini.

LEMBU sado milik Nor Faizi menjadi juara dalam pelbagai pertandingan.
LEMBU sado milik Nor Faizi menjadi juara dalam pelbagai pertandingan.

"Selain itu, jika menjual lembu sado induk juga agak tinggi iaitu bermula RM25,000 seekor bagi yang jantan, manakala induk betina pula bermula RM15,000," katanya. Katanya

untuk 'membuntingkan' haiwan ternakan berkenaan dia menggunakan teknik permanian beradas (AI). Teknik AI adalah cara mengahwinkan ternakan apabila benih atau air mani lembu jantan ke dalam alat kelamin lembu betina.

"Waktu sesuai memasukkan benih apabila melihat keadaan lembu betina sudah bersedia untuk mengawan.

"Selepas memasukkan benih itu, lembu betina akan bunting kira-kira sembilan bulan sebelum melahirkan anak lembu hibrid dan boleh dilakukan lagi teknik AI apabila haiwan sudah bersedia mengawan lagi.

"Selepas empat bulan melahirkan anak, lembu berkenaan mampu untuk dibuntingkan sekali lagi," katanya.

PENJAGAAN lembu sado mempunyai cabaran tersendiri.
PENJAGAAN lembu sado mempunyai cabaran tersendiri.

Ditanya mengenai pemakanan, katanya, pemakanan lembu sado adalah sama dengan baka lembu yang lain iaitu rumput, napier atau dedak.

"Sehari saya akan berikan makan dua kali iaitu sebelah pagi dan petang. Kuantiti makanan juga bergantung kepada usia lembu.

"Jika lebih matang, maka jumlah makanan yang perlu diberikan juga lebih banyak," katanya.

Ketika ini Nor Faizi sudah memasarkan daging proses dan induk lembu sado miliknya ke seluruh Malaysia. Malah, mengusahakan lembu sado 'trading' untuk memenuhi pasaran terutama ketika musim perayaan.

Katanya, antara cabaran menternak lembu sado pastinya apabila mendapat serangan penyakit kuku dan mulut (FMD) dan penyakit kulit.

"Jika mendapat serangan ini saya akan terus mendapatkan khidmat jabatan veterinar supaya lembu yang sakit boleh dirawat dengan segera.

"Jika lambat dirawat penyakit itu boleh mengakibatkan lembu ternakan ini mati dan sudah pasti mengakibatkan kerugian kepada saya sebagai pengusaha," katanya.

Katanya, untuk menjadi penternak lembu sado perkara utama pastinya mempunyai ilmu yang cukup supaya kesihatan haiwan itu sentiasa dalam keadaan baik.

"Saya mengikuti pelbagai kursus ternakan bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk menjaga dan menguruskan ladang ternakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 6:30 AM