Lembu sado bernama 'Scoot' bernilai RM25,000 dikorbankan semalam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Lembu sado bernama 'Scoot' bernilai RM25,000 dikorbankan semalam. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: "Niat mahu melakukan ibadah korban menggunakan lembu sado bernilai RM25,000 bernama 'Scoot' tercapai semalam. Lembu itu berjaya dilapah hanya dalam tempoh sejam sahaja," kata penternak muda, Aiman Aizuddin Azhar, 19.

Katanya, walaupun tidak dapat bersama pada program korban namun dia tetap bersyukur proses menyembelih, melapah dan mengagihkan daging berjalan lancar dan selesai hingga lewat malam.

Menurutnya, lapan individu yang mahir terbabit menguruskan proses sembelihan berkenaan.

"Mereka mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengikat dan merebahkan seterusnya menyembelih haiwan terbabit dalam kandang khas di Kampung Permatang Pauh, di sini.

"Mereka mengambil masa lebih sejam untuk melapah lembu sado baka Limousine berkenaan sebelum diagihkan kepada golongan asnaf termasuk penduduk kampung. Seramai 400 individu menerima antara sekilogram hingga dua kilogram (kg) daging korban itu.

"Saya tidak dapat bersama program ibadah korban kerana terpaksa menghantar lima lembu baka Kedah-Kelantan untuk ibadah korban kepada pembeli di Muadzam Shah," katanya, di sini semalam.

Aiman Aizuddin yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma Agroindustri Ternakan Ruminan di Kolej Vokasional Pertanian Chenor, Maran berkata, Allah SWT memudahkan segala urusan ibadah korban semalam walaupun dikalangan petugas timpul perasaan bimbang menguruskan haiwan seberat kira-kira satu tan itu.

Tambahnya, pengorbanan kali ini bagi memenuhi tuntutan agama yang menjanjikan pahala lebih besar dengan balasan diterima di akhirat nanti seperti dijanjikan Yang Maha Esa.

Menurutnya, ibadat korban kali ini menjadi sejarah dia sekeluarga apabila menggunakan lembu sado miliknya yang berumur empat tahun. Sebelum ini hanya menggunakan lembu baka Kedah-Kelantan.

"Lembu sado bernama 'Scoot' adalah lembu sado terbesar saya miliki. Lembu ini dilahirkan dalam kandang hasil permanian beradas.

"Saya kini mempunyai lebih 25 lembu sado baka Limousine, Charolais, Belgian Blue dan Brahman.

Sebelum ini saya menjual anak lembu sado berumur tujuh hingga 10 bulan dengan harga antara RM5,000 hingga RM8,000.

"Pada Aidiladha kali ini, saya sudah menjual lebih 40 ekor lembu baka Kedah-Kelantan untuk ibadah korban. Sebelum ini saya menyembelih 10 lembu sado pelbagai saiz bagi menyambut Aidilfitri," katanya yang pernah membeli lembu sado betina dengan harga RM30,000 seekor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 11:33 AM