PEMIMPIN perlu berusaha membina masyarakat agar kembali kepada kehidupan berteraskan Islam.
PEMIMPIN perlu berusaha membina masyarakat agar kembali kepada kehidupan berteraskan Islam.
Dr Zaki Ibrahim

Kelahiran pemimpin tidak terlepas dari budaya kehidupan masyarakat sekeliling. Jika masyarakat dipimpin pemimpin tegas dan patriotik, begitulah kondisi masyarakat dipimpinnya. Namun, jika dipimpin pemimpin yang tidak amanah, berbohong dan suka berfoya, begitulah juga budaya masyarakatnya. Baik atau buruk pemimpin, ia lahir dari rahim masyarakat.

Kepimpinan bermula dari kepemimpinan diri, dengan mengetahui, memahami dan melaksanakan tanggungjawab diri untuk kebaikan bersama dan faedahnya diraih oleh segenap ahli masyarakat.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 58-59, bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik- baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'Ulil-Amri' (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Ayat ini membicarakan isu kepemimpinan dan ia bukan sahaja berkisarkan keperibadian, sikap, kemahiran dan kebolehan pemimpin sahaja.

Malah, perkara turut terkait dengan keperibadian, sikap, kemahiran dan kebolehan pengikutnya juga. Antara inti pati pengajaran ayat al-Quran ini adalah perintah untuk taat kepada pemimpin dalam kalangan manusia, selagi tidak bertentangan dengan ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul. Menurut Ibnu Abbas, Hasan Al Basri, dan Abdul Aliyah, ulil amri adalah ulama.

Menurut Ibnu Katsir pula, ulil amri itu bersifat umum, tidak kira mereka adalah pemerintah mahupun ulama. Sedangkan menurut Syaikh Wahbah Az Zuhaili dalam Tafsir Munir, maksud ulil amri itu merujuk kepada pemimpin dan ulama.

Yang jelas, ketaatan kepada ulil amri harus dibina dan diteraskan berdasarkan ketaatan kepada Allah SWT dan Nabi SAW. Tidak boleh dalam perkara maksiat dan kemungkaran. Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam perkara kebaikan." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mengambil sedutan daripada perkongsian di Bayan Linnas Siri ke 209, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hubungan rakyat dengan pemerintah adalah hubungan dua hala. Kewajipan pemerintah ke atas rakyat adalah berlaku adil ke atas mereka dan memelihara hak mereka, manakala rakyat pula wajib memberikan kerjasama yang baik dalam membangunkan negara dengan mentaati peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Jika kita mendambakan pemimpin baik, amanah dan berwibawa, maka baiknya dimulai dari kualiti masyarakatnya.

Keluarga adalah unit terkecil dari masyarakat.

Proses islah ini bermula di peringkat ini, perbaiki diri dulu, keluarga, dan lingkungan sosial. Jika itu yang terjadi, maka pemimpin dengan kepemimpinan yang baik, akan lahir dari rahim masyarakat yang baik juga.

Pernah suatu ketika rakyat Saidina Ali RA ditanya: "Wahai Amirul Mukminin, kenapa zaman kamu tidak seperti mana zaman Umar RA, di mana rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai penuh ketaatan kepada Allah SWT? " Jawab Saidina Ali: "Zaman Umar, rakyatnya adalah seperti aku. Sedangkan zaman aku, rakyatnya seperti kamu." Pembangunan masyarakat berkualiti bermula dengan pembinaan insan yang kualiti di rumah dan di institusi pendidikan.

Dunia barat akan berusaha membina ketamadunan kehidupan yang menjamin hak kemanusiaan rakyatnya. Dunia hari ini mempunyai ukuran yang dikenali life satisfaction index. Indeks ini adalah alat untuk menilai, memahami dan meningkatkan kebahagiaan individu, kesejahteraan masyarakat, keadilan sosial, kesaksamaan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Hak individu diangkat dan dipertahankan.

Natijahnya, masyarakat secara amnya dikategorikan sebagai self-centred dan tidak berteraskan agama. Sebagai contoh, hak perkahwinan sama jenis, hak bersuara tanpa sekatan dan pelbagai hak asasi manusia dijuangkan.

Pastinya, acuan hak asasi kemanusiaan yang berlawanan dengan prinsip Islam tidak sesuai untuk diaplikasikan di dalam masyarakat Malaysia. Bagaimanapun, tempias arus ini dirasai di Malaysia dan negara timur. Budaya ini mula menular dalam masyarakat Malaysia.

Hari ini, pemimpin negara, tokoh agama, ahli politik, ulama, selebriti dan orang kenamaan mendapat kecaman hampir setiap hari. Budaya mengecam pemimpin secara terbuka dan melampau dibiarkan atas nama hak bersuara. Hak kemanusiaan ini diluaskan kepada hak untuk berhiburan, berseronok dan berpeleseran hingga ia menjadi normalisasi masyarakat. Masyarakat yang membudayakan hendonisme sebagai budaya kehidupan akan mudah terpengaruh.

Akhirnya masyarakat yang rosak akan melahirkan pemimpin lemah dan tunduk kepada kehendak nafsu keduniaan.

"Maka Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik." (QS. Az-Zukruf: 54)

Kaum Firaun adalah kaum yang fasik. Firaun membudayakan kehidupan yang berpaksikan keseronokan dalam kehidupan rakyat hingga mereka hilang jati diri dan mudah mengikut telunjuknya.

Antara pemimpin dengan yang dipimpin saling lengkap melengkapi. Apabila masyarakat hidup dengan budaya keseronokan melampau dan bermewah hingga hilang jati diri seorang Muslim, mereka akan memilih pemimpin yang sealiran dengan budaya kehidupan mereka.

Oleh itu, musibah menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu). (QS. Asy-Syura: 30)

Itulah sunnah kepemimpinan. Ia jauh berbeza dengan misi kerasulan. Para rasul diturunkan ke muka bumi untuk memberi pencerahan kepada masyarakat agar menjadi lebih baik. Para rasul mengembang misi dakwah, amar maaruf nahi munkar. Pemimpin seharusnya mewarisi misi ini untuk membina masyarakat berteraskan Islam. Index pembinaan masyarakat berteraskan syariat dan bukannya life satisfaction index yang berteraskan keduniaan semata-mata. Oleh itu, pemimpin perlu berusaha membina masyarakat agar kembali kepada kehidupan berteraskan Islam. Budaya ilmu, adab dan akhlak Islam perlu dijadikan gagasan pembinaan masyarakat.

Pembinaan masyarakat ini perlu bermula dengan iltizam kuat pemimpin di pelbagai peringkat dengan pelbagai pendekatan. Proses pembinaan masyarakat ini adalah projek jangka panjang dan perlu bersifat konsisten.

Jika secara kolektif masalah ini kita sedari dan insafi, perubahan budaya masyarakat dapat dipupuk secara berfasa dan bersama. Perubahan pemimpin tidak akan mengubah haluan dan wawasan pembinaan masyarakat berteraskan Islam.

Pemimpin bertarung idea untuk membina masyarakat yang lebih baik dan bukannya merebut kekuasaan untuk kepentingan peribadi dan kroni dengan melalaikan masyarakat dengan budaya hendonisme.

Inilah langkah ke hadapan, tidak ada jalan lain kecuali kita mesti ber-hijrah, menuju pada kebaikan dan jalan-jalan yang diredai Allah SWT. Akhirnya, lahirlah pemimpin yang hebat dari rahim masyarakat yang hebat.

Penulis Pengurusan  Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 7:01 AM