LELAKI Palestin memikul anaknya ketika melalui kawasan yang mana bangunan musnah akibat serangan Israel, di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters
LELAKI Palestin memikul anaknya ketika melalui kawasan yang mana bangunan musnah akibat serangan Israel, di Khan Younis, selatan Gaza. FOTO Reuters
AFP

Washington: Kira-kira 1.9 juta orang atau 80 peratus daripada penduduk Gaza terpaksa berpindah, kata Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Gaza, Sigrid Kaag, pada Selasa lalu.

Beliau menganggarkan 250,000 orang terjejas dengan arahan tentera Israel supaya orang awam meninggalkan Khan Younis dan Rafah di Gaza, yang mempunyai 2.4 juta penduduk.

"Orang awam Palestin di Gaza terjerumus ke dalam jurang penderitaan. Rumah mereka hancur, kehidupan mereka terancam.

"Lebih satu juta orang berpindah sekali lagi, terdesak mencari perlindungan dan keselamatan, (dan) sehingga kini 1.9 juta orang berpindah di seluruh Gaza.

"Saya amat prihatin dengan laporan perintah pemindahan baharu yang dikeluarkan di kawasan Khan Younis

"Perang itu bukan semata-mata mencipta krisis kemanusiaan yang paling mendalam ia juga mencetuskan malapetaka kesengsaraan manusia," katanya kepada Majlis Keselamatan PBB.

Beliau berkata, bantuan tidak mencukupi sampai ke Gaza yang dilanda perang, dan pembukaan lintasan baharu, khususnya ke selatan Gaza, adalah perlu untuk mengelak bencana kemanusiaan.

Katanya, lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir harus dibuka semula, selain masyarakat antarabangsa juga perlu melakukan usaha banyak membiayai bantuan.

"Jumlah bantuan yang memasuki Gaza semakin menurun dengan ketara sejak permulaan operasi Israel di Rafah," katanya.

Sementara itu, jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric berkata, arahan untuk pemindahan membabitkan 117 kilometer persegi di Khan Younis dan Rafah terpakai kepada kira-kira satu pertiga daripada penduduk Gaza, menjadikannya perintah terbesar sejak konflik Oktober.

"Pemindahan dalam skala besar itu hanya akan meningkatkan penderitaan orang awam," kata Dujarric.

Melihat di sebalik konflik itu, wakil Slovenia di Majlis Keselamatan PBB, Samuel Zbogar. mempersoalkan sama ada gencatan senjata akan mengurangkan krisis kemanusiaan dengan ketara.

"Apakah jaminan lebih mudah untuk menyampaikan bantuan? Kerana masih ada pusat pemeriksaan di sana... masih tiada trak.

"Mungkin masih ada masalah dan jangkaan besar, selepas gencatan senjata," katanya.

Israel tidak secara khusus menyatakan akan ada operasi ketenteraan di selatan Gaza, namun setakat ini, hampir setiap perintah untuk berpindah menandakan pertempuran besar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:25 PM