HAMIDIN (kiri), Nicol (tengah) ketika mengadakan sesi lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
HAMIDIN (kiri), Nicol (tengah) ketika mengadakan sesi lawatan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Nicol David percaya Institut Sukan Negara (ISN) akan menyediakan perkhidmatan terbaik bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku.

Jelas Nicol, apa yang terjadi kepada pemain muda badminton China, Zhang Zi Jie yang meninggal dunia ketika aksi Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia minggu lalu akan dipandang serius pasukan perubatan Malaysia.

Oleh itu, ISN pasti akan menyediakan peranti defibrillator luaran automatik (AED) yang terbaik kepada atlet negara yang akan bersaing di pentas terbesar dunia itu nanti.

"Kami ada pasukan ISN yang sentiasa akan membantu atlet kita. Bagaimanapun ketika di Olimpik semestinya ada pasukan perubatan yang tersedia dan ambulans kerana itu SOP bagi kejohanan Olimpik yang ditawarkan.

"Kami yakin bahawa ISN akan menyediakan peralatan lengkap untuk membantu kontinjen Malaysia," kata Nicol ketika lawatan bersama Ketua CDM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Untuk rekod, Persekutuan Badminton Malaysia (BWF) menyemak semula protokol tindak balas kecemasannya berikutan kematian pemain muda China itu, Zi Jie selepas rebah di gelanggang.

Pada perkembangan sama, Nicol terjua melihat persiapan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan melakukan simulasi bagi memastikan mereka lebih bersedia di Paris nanti.

"Kami gembira melihat perkembangan atlet badminton kita. Mereka melakukan simulasi perlawanan berlangsung yang akan berlangsung di Paris.

"Saya lihat mereka sangat fokus dan bersedia untuk Olimpik kali ini. Mereka memberi komitmen yang terbaik. Simulasi itu saya lihat memang amat membantu mereka menjelang ke Paris nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:37 PM