KEMERDEKAAN membawa kemakmuran dan keamanan dalam sesebuah negara. FOTO BERNAMA
KEMERDEKAAN membawa kemakmuran dan keamanan dalam sesebuah negara. FOTO BERNAMA
Mohd Ajib Ismail

RIB'I ibn 'Amir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum mengungkapkan kalimah yang bermaksud: "Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat." Justeru kedatangan Islam melalui pengutusan Nabi Muhammad SAW yang membebaskan manusia dari belenggu kekufuran membawa mesej kemerdekaan yang sebenar seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "(Dan tiadalah Kami (Allah) mengutus engkau (Muhammad), kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam)." (Al-anbiya' :107)

Kebebasan hakiki yang ditegaskan Islam ialah kemerdekaan jiwa dari dikuasai hawa nafsu dan syahwat dengan menundukkannya kepada kawalan akal dan iman. Perkara ini selaras dengan saranan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Muhammad Abdullah bin Umar bin al-As bermaksud: "Tidak beriman seorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya dan kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku bawa dengan dia."

Erti kemerdekaan yang sebenar bukan semata-mata kebebasan di dalam menentukan pentadbiran dan pemerintahan negara serta menikmati segala hasil mahsulnya, tetapi juga bebas dari sebarang bentuk cengkaman minda dan jiwa dari sebarang sistem yang bercanggah dengan matlamat syariat yang dinyatakan di dalam Maqasid Syariah yang lima iaitu memelihara agama (hifz al-din), memelihara nyawa (hifz al-nafs), memelihara keturunan (hifz al-nasl), memelihara akal (hifz al-a'ql) dan memelihara harta (hifz al-mal).

Antara hikmah yang dikecapi dari kemerdekaan adalah kualiti hidup yang lebih baik dari segi pembangunan, pendidikan, ekonomi dan keselamatan. Melalui kemerdekaan, negara dapat dibangunkan dengan pelbagai kemudahan yang dapat meningkatkan taraf hidup serta memberikan keselesaan kepada rakyat. Situasi inilah yang banyak menyumbang kepada kejayaan negara dalam berhadapan dengan penularan wabak Covid-19 sehingga diiktiraf oleh dunia.

Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap warga negara untuk bersyukur dengan semua kejayaan dan kemajuan yang dikecapi sepertimana anjuran di dalam firman Allah SWT, surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.'"

Kemerdekaan membawa kemakmuran dan keamanan dalam sesebuah negara. Syiar Islam dapat berkembang pesat dan pengamalannya berlangsung dengan sempurna. Negara yang makmur haruslah dibina atas prinsip Baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raaf ayat 96 bermaksud: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Sehingga hari ini, rakyat Malaysia masih dapat menikmati kehidupan yang tenteram dan aman berbanding persekitaran dan suasana kehidupan rakyat di kebanyakan negara Islam yang lain. Ajaran Islam menegaskan bahawa kepelbagaian keturunan, budaya, bangsa, bahasa dan sebagainya adalah keistimewaan penciptaan manusia dan tanda kebesaran Allah SWT. Kepelbagaian ini mestilah dijadikan sebagai suatu kebaikan untuk saling mengenali dan berkasih sayang serta mengatur kehidupan bermasyarakat secara harmoni. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya." (Surah al-Hujurat (49): 13)

Menjadi tanggungjawab setiap warga negara untuk menghayati dan menyuburkan semangat berkorban demi negara serta sifat bertolak ansur dalam masyarakat mengikut konteks agama dan kepercayaan masing-masing. Perkara ini boleh dilakukan berasaskan prinsip semua agama menyeru ke arah kebaikan dan kesederhanaan.

Bagi mempertahankan nikmat kemerdekaan, setiap warga negara haruslah menghayati tanggungjawab kepada negara misalnya memberikan taat setia kepada pemerintah. Menurut panduan Islam, anggota masyarakat bertanggungjawab memberikan ketaatan kepada pemimpin yang dipilih. Ketaatan masyarakat kepada pemimpin adalah wajib selama mana ia tidak bercanggah dengan syariah Islam seperti firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al-Nisa' (4): 59)

Selain itu, warganegara juga bertanggungjawab bekerjasama dengan pemimpin untuk mempertahankan negara dari ancaman musuh dan ujian yang melanda. Setiap warganegara bertanggungjawab melaksanakan dasar dan menyokong program pemerintah yang tidak bercanggah dengan Islam.

Sifat kepedulian terhadap keperluan dan kesukaran yang dialami orang lain harus ditanam dan disemai dalam masyarakat. Allah SWT memerintahkan hambanya untuk saling tolong menolong dan bantu membantu sebagaimana firmanNya dalam surah al-Ma'idah ayat 2 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

Sifat peduli ini dapat disemai melalui keprihatinan dan empati dengan menghayati kesusahan yang dialami oleh orang lain sekali gus membangkitkan semangat untuk membantu. Melalui rasa simpati kepada golongan yang memerlukan,  maka akan timbul perhatian dan kesediaan untuk menghulurkan bantuan dengan hati yang terbuka. Kepedulian juga bermaksud mengorbankan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan keperluan orang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah Al Hasyr ayat 9 yang bermaksud: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Bantuan dan pertolongan terhadap golongan yang memerlukan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada zakat, sedekah, bantuan sosial, perlindungan dan lain-lain. Pelbagai usaha sudah dilakukan bagi meringankan bebanan golongan tersebut termasuk melalui bantuan zakat serta pelbagai inisiatif bantuan melalui institusi masjid bagi meringankan bebanan ahli kariah.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 8:30 AM