FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Ajib Ismail

Di antara kejayaan dakwah dan hijrah baginda Nabi Muhammad SAW ke Madinah adalah pembentukan sebuah model negara Islam yang gemilang serta dikagumi masyarakat dunia. Baginda bukan saja berjaya mempersaudarakan golongan Muhajirin dari Makkah dan golongan Ansar di Madinah, tetapi juga mengharmonikan hubungan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan kepercayaan.

Justeru resipi paling utama dalam membangunkan sebuah negara yang terhormat adalah dengan memperkukuh hubungan kaum di samping membentuk perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Agenda ini termaktub di dalam fasal terawal Sahifah Madinah iaitu sebuah perlembagaan yang dibangunkan bagi menetapkan perjanjian atau kontrak sosial antara umat Islam yang terdiri daripada Muhajirin dan Ansar serta golongan bukan Islam yang berjuang bersama umat Islam.

Sahifah Madinah adalah suatu kontrak sosial yang bersandarkan perjanjian berasaskan konsep sebuah komuniti yang terdiri daripada pelbagai puak dan kaum yang hidup di bawah naungan satu Tuhan. Sahifah Madinah juga menetapkan suatu kaedah yang menyelesaikan segala pertelingkahan dalam kalangan kaum dan kumpulan dalam masyarakat secara aman tanpa memaksa semua warga untuk memeluk satu agama atau satu bahasa atau satu budaya. Langkah ini membuktikan tindakan Rasulullah SAW berasaskan kemahiran diplomatik yang sangat tinggi dibentuk selaras dengan pertimbangan praktikal tanpa mengetepikan prinsip agama.

Warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan kabilah hidup dalam keadaan tegang dan berpecah- belah sebelum kedatangan Islam. Selain daripada orang Arab yang terdiri daripada beberapa kabilah atau bani, terdapat beberapa kumpulan minoriti seperti penganut Kristian, penganut agama pagan dan animisme, mereka yang berasal dari luar Madinah dan juga kumpulan puak kecil yang lain.

Kedatangan golongan Muhajirin membuka suatu lembaran baharu bagi peradaban masyarakat Madinah. Pendekatan mempersaudarakan Bani Aus dan Khazraj yang bertelagah di bawah satu nama iaitu Ansar serta menjalinkan ikatan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar menjadi suatu titik penting persaudaraan Muslim di Madinah termasuk dengan golongan bukan Islam.

Negara Madinah terbentuk atas jalinan perpaduan antara setiap individu serta bangsa, puak dan kumpulan. Setiap warga mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara. Berdasarkan asas perpaduan ini, Madinah menjadi sebuah negara yang mantap dan disegani. Setiap warga bekerjasama membangunkan Madinah dalam segenap aspek politik, ekonomi dan sosial. Sahifah Madinah juga membentuk masyarakat yang kukuh dari sudut politik melalui penerimaan kepemimpinan Rasulullah SAW.

Dalam usaha kita membangunkan sebuah negara yang makmur dan harmoni, pertelingkahan tidak wajar diperbesarkan sebaliknya berusaha mencari jalan memantapkan dan mempereratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hanya dengan perpaduan akan mempertingkatkan pembangunan Malaysia ke arah keseimbangan yang holistik dalam segenap aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia dan segala tindakan yang diambil haruslah berdasarkan kehendak dan kepentingan semua kumpulan etnik dalam negara ini.

Teras perpaduan dalam kalangan masyarakat haruslah berlandaskan prinsip kenegaraan seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan keadilan sosial. Manakala nilai-nilai murni yang perlu diterapkan adalah seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin, keprihatinan serta penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Kemajmukan dan keberagaman manusia adalah fitrah dan sunnatullah yang ditetapkan. Kepelbagaian bangsa dan etnik bertujuan agar manusia saling kenal mengenali, memahami pemikiran, budaya dan adat resam, bukannya bersengketa serta berpecah-belah. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Bagi menjayakan matlamat ini, sikap bertoleransi di mana satu kaum menerima keunikan kaum lain serta menghargai kelebihan dan keunikan yang ada dengan saling menghormati adalah sangat diperlukan bagi setiap rakyat Malaysia merangkumi semua kaum, etnik dan kumpulan. Ia juga haruslah berteraskan akidah dan kedaulatan Islam sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya."

Bagi membudayakan dan menghayati kesepaduan dalam masyarakat Ummah Rabbani, Negara Harmoni juga telah diangkat sebagai tema sambutan Maal Hijrah tahun ini selaras dengan slogan Malaysia Prihatin yang menjadi tema Hari Kebangsaan 2020. Dasar pentadbiran Islam semasa juga menyantuni masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan seperti Musaadah Covid-19 yang memberikan sumbangan dan bantuan kepada golongan terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Selain itu inisiatif menghargai sumbangan golongan bukan Islam di dalam usaha pembangunan ummah turut dibuat melalui penganugerahan salah satu daripada kategori anugerah Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan kepada penerima bukan Islam.

Semua inisiatif ini dilaksanakan bagi menyampaikan mesej bahawa tanggungjawab memelihara keharmonian dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab bersama agar Malaysia terus gemilang, menjadi contoh kepada masyarakat dunia serta diredai oleh Allah SWT.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 8:16 AM