SEMUA pihak sama ada pemimpin mahupun rakyat perlu berganding bahu meringankan beban mereka yang terkesan akibat Covid-19.
SEMUA pihak sama ada pemimpin mahupun rakyat perlu berganding bahu meringankan beban mereka yang terkesan akibat Covid-19.
Datuk Mohd Ajib Ismail

SEMUA golongan di segenap peringkat sama ada rakyat mahupun pemerintah hakikatnya sedang diuji ketika mendepani isu dan permasalahan dalam kehidupan lebih-lebih lagi ketika negara berhadapan dengan badai pandemik Covid-19. Situasi getir yang tidak pernah dialami oleh sesiapapun sebelum ini, sudah tentu menuntut semua pihak bekerjasama dan berganding bahu untuk mengharunginya dengan jaya.

Pihak kerajaan atau pemerintah sentiasa diingatkan agar bersifat amanah di dalam melaksanakan tugas kerana ia membawa keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Pelaksanaan segala dasar dan inisiatif serta bantuan yang direncanakan hendaklah dipastikan benar-benar diterima dan memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan. Nabi Muhammad SAW menegaskan di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya." (Hadis Riwayat Ahmad)

Ajaran Islam juga mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang memikul amanah orang lain agar tidak menggunakan kedudukan atau harta yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk kepentingan peribadi kerana ia adalah suatu tindakan yang diharamkan. Perbuatan tersebut termasuk dalam perlakuan mengambil harta secara batil dan ghulul seperti untung atas angin, menggunakan harta kerajaan atau syarikat untuk tujuan peribadi dan sebagainya.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 2 yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar."

Di dalam apa jua keadaan lebih-lebih lagi ketika ramai orang menghadapi kesempitan hidup, kita harus menjauhkan diri daripada sikap menyalahgunakan kuasa dan mengambil kesempatan di atas kedudukan dan pengaruh yang dimiliki. Kekayaan dan kedudukan adalah kuasa yang paling berpengaruh, justeru ia perlu digunakan bagi menguatkan umat Islam dengan pelbagai program dan aktiviti yang berfaedah sebaliknya mengelakkan diri daripada menganjurkan aktiviti yang menyumbang kepada kemungkaran. Kekayaan dan kedudukan yang dimiliki tidak harus digunakan untuk membeli manusia yang boleh dibayar harga dirinya, sebaliknya digunakan bagi menyumbang bantuan dan mempermudahkan urusan orang lain yang berada dalam keadaan memerlukan.

Sesiapa yang memiliki kekuasaan pula hendaklah berlaku adil di dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang dalam masyarakat. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA bahawa kaum Quraisy amat memusingkan mereka hal seseorang perempuan suku Makhzum yang melakukan pencurian.

Mereka mengatakan: "Siapakah yang boleh berbicara dengan Rasulullah SAW (mengemukakan permintaan supaya perempuan itu dibebaskan)? Tiada yang berani untuk membicarakan hal itu hanyalah Usamah kesayangan Rasulullah SAW." Lalu Usamah berbicara dengan Rasulullah SAW  dan beliau menjawab: "Adakah engkau hendak menolong supaya orang bebas daripada hukuman Allah?" Kemudian Nabi berdiri dan berkhutbah, sabda beliau: "Hai orang banyak! Orang-orang yang sebelum kamu menjadi sesat jalan disebabkan apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan saja (tidak dihukum). Tetapi kalau seorang yang lemah (rakyat biasa) mencuri, mereka lakukan hukuman kepadanya. Demi Allah! Seandainya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya Muhammad akan memotong tangan anaknya itu." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Selain itu, segala keputusan yang berkaitan dengan kepentingan awam hendaklah dilaksanakan melalui syura iaitu proses komunikasi yang mengandungi perbincangan, percambahan fikiran, pertukaran maklumat dan pengumpulan fakta daripada pelbagai sudut. Mengabaikan amalan syura akan membawa implikasi buruk seperti perpecahan dan persengketaan.

Firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."

Manakala sebagai rakyat dan anggota masyarakat, kewajipan ketaatan kepada pemerintah amat ditekankan setiap masa sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Nisa' ayat 59 yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada 'Ulil Amri' (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya."

Di dalam mendepani segala permasalahan dan cabaran, umat Islam haruslah sentiasa bertindak sebagai sebuah pasukan dan mengetepikan sifat partisan dan berpuak-puak demi memelihara maslahah ummah.

Firman Allah di dalam surah al-Saf ayat 4 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Setiap tugasan perlu dilaksanakan dengan itqan atau sifat tekun dan penuh komitmen serta bersungguh-sungguh, sempurna dan terbaik mengikut tatacara, peraturan, disiplin yang ditetapkan. Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik." (Sunan al-Baihaqi)

Semoga semua pihak sama ada pemimpin mahupun rakyat terus berganding bahu dengan penuh komitmen dan amanah bagi menjayakan agenda yang mengutamakan kebajikan masyarakat selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara  untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 5:59 AM