TAAT kepada pemimpin  tidak menghalang mana-mana pihak untuk memberikan pandangan, nasihat dan teguran terhadap golongan yang memimpin. FOTO Arkib BERNAMA
TAAT kepada pemimpin tidak menghalang mana-mana pihak untuk memberikan pandangan, nasihat dan teguran terhadap golongan yang memimpin. FOTO Arkib BERNAMA
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Islam agama yang merangkumi segala aspek kehidupan termasuk kepercayaan, cara hidup dan undang-undang. Melalui setiap sendi ajarannya, Islam membentuk penganutnya supaya menjadi umat yang bersatu di bawah kepemimpinan berteraskan prinsip dan syariat Islam. Mereka bukan saja beriman kepada Allah, tetapi melakukan ibadat ditetapkan dan mengikut manhaj yang satu menuju ke arah matlamat untuk mencapai keredaan Allah SWT.

Dalam Islam, soal pemerintahan atau kepemimpinan adalah satu perkara yang amat dititikberatkan. Hal ini termasuk permasalahan kewajipan mentaati pemimpin. Prinsip ketaatan kepada pemimpin ini sangat penting dalam Islam kerana kehidupan umat serta peraturan dibawa oleh Islam tidak dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintah yang ditaati. Oleh kerana itu, mentaati pemerintah adalah sebahagian daripada asas utama bagi syariat Islam yang suci dan benar ini.

Terdapat banyak dalil menunjukkan wajib taat kepada pemimpin antaranya adalah firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah SAW serta kepada ulil amri (orang yang berkuasa dalam kalangan kamu)". Daripada dalil al-Quran ini jelas bahawa terdapat suruhan Allah agar mentaati pemimpin.

Selain itu, terdapat juga hadis yang bermaksud: "Wajib ke atas setiap Muslim untuk patuh dan taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selama mana tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintah untuk melakukan maksiat, maka janganlah patuh dan taat". Hadis itu juga menyeru mentaati pemimpin selagi pemimpin itu tidak menyuruh melakukan perkara maksiat.

Namun begitu, taat kepada pemimpin sama sekali tidak menghalang mana-mana pihak untuk memberikan pandangan, nasihat dan teguran terhadap golongan yang memimpin, malahan perkara ini adalah satu daripada perkara dituntut dalam Islam. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa setiap kewajipan dalam Islam mesti dilakukan mengikut kaedah dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak. Sebagai contoh dalam menunaikan ibadat solat, ia mestilah ditunaikan mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan. Jika tidak mengikut cara yang ditetapkan, bukan sahaja tidak sah, bahkan menjadi suatu dosa. Demikian juga halnya dengan tanggungjawab menegur pemimpin yang ia termasuk dalam 'amar makruf nahi munkar.'

Dalam kewajipan amar makruf ini, Imam al-Ghazali membahagikan kepada lima peringkat iaitu takrif (memberitahu), menasihati dengan kata-kata yang lembut, menggunakan kata-kata yang keras, mencegah dengan kekuatan dan menggunakan cara ugutan. Sungguhpun begitu, beliau menjelaskan dalam menegur pemimpin hanya mengunakan peringkat pertama dan kedua iaitu takrif (memberitahu) dan menasihati dengan kata-kata yang lemah lembut.

Apa yang diketengahkan oleh Imam al-Ghazali dalam menasihati pemimpin ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah dia menyampaikan secara terang-terangan, tetapi hendaklah memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian. Sekiranya nasihat itu diterima, itulah yang baik, tetapi sekiranya tidak diterima, maka dia (pemberi nasihat) dikira telah melaksanakan tanggungjawab." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Kesimpulannya, mentaati pemimpin adalah kewajipan yang ditetapkan oleh syarak selagi tidak diperintah melakukan perkara maksiat. Namun begitu, ia tidak menghalang daripada menegur pemimpin selagi teguran itu mengikut kepada etika dan cara yang ditetapkan.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:00 AM