KESETIAAN Kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara.
KESETIAAN Kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara.
Datuk Dr Luqman Abdullah

Ledakan teknologi memiliki dua sisi, baik dan buruk. Media sosial secara khususnya kini menjadi pengganti utama kepada kebanyakan media massa. Disebabkan itu, terhasil sebaran dan hantaran yang baik serta buruk melalui medium ini.

Baru-baru ini, isu ketaatan kepada raja atau sultan menjadi hangat semula secara meluas di media sosial. Ini disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya, beberapa individu disiasat polis kerana kenyataan mereka yang dilihat merendah-rendahkan institusi beraja.

Selain itu, isu ini juga hangat disebabkan oleh suatu hadis yang diangkat mengenai ketaatan kepada pemimpin. Oleh itu, kami cuba mengetengahkan kedua-dua isu berkenaan dalam artikel kali ini.

  • Isu mengutuk dan menghina raja

    Seperti yang diketahui dalam Islam, tiada manusia yang tidak boleh ditegur. Namun, teguran itu biarlah mengikut panduan yang gariskan oleh Islam.

    Firman Allah Taala yang menyebut: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua lebih mengetahui akan orang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Nahl ayat 125)

    Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri yang menyeru manusia untuk mencegah kemungkaran, sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran maka dia perlu mencegahnya dengan tangan. Jika dia tidak mampu maka dia perlu lakukan dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu maka dia perlu lakukan dengan hatinya. Inilah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim dan Ahmad)

    Islam mendidik manusia agar beradab dalam menyampaikan nasihat mengikut status sosial seseorang supaya nasihat yang baik sampai kepada penerima dengan cara berkesan. Contoh daripada Rasulullah SAW mempamerkan akhlak mulia sebagai ketua negara di Madinah menghantar surat kepada ketua negara lain dengan menyertakan sekali panggilan hormat bersama-sama mesej dakwah yang padat.

  • Kedudukan raja dalam Perlembagaan dan agama

    Apakah kedudukan seorang raja atau sultan dalam konteks negara Malaysia dan implikasinya terhadap hukum agama?

    Pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, mengisytiharkan Rukun Negara bagi Malaysia yang digariskan melalui lima rukun. Ini terhasil berikutan peristiwa 13 Mei 1969 apabila perpaduan kaum dilihat menjadi lemah pada waktu itu. Kesetiaan kepada Raja dan Negara diletakkan sebagai rukun kedua. Ini menjadi simbolik bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara yang menyebabkan kesetiaan terhadap baginda bermaksud kesetiaan kepada negara.

    Perlembagaan Persekutuan juga disusun dengan meletakkan kesetiaan kepada institusi beraja di Malaysia sebagai antara noktah penting. Ia kemudian menyebabkan beberapa akta lain ditubuhkan berikutan menjaga ketenteraman sosial seperti Seksyen 124H Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

    Seterusnya, ia membawa kepada persoalan iaitu apakah pula pandangan agama terhadap undang-undang yang memelihara Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta institusi beraja?

    Dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah (1/19), al-Qadhi Abu Ya'la menggariskan bahawa kewujudan pemimpin adalah wajib secara kifayah kerana jika kepemimpinan tidak wujud, nescaya tidak akan terlerailah perdebatan dan pertikaian terhadap sesuatu keputusan.

    Malaysia menerima pakai sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang meletakkan pentadbiran negara dibahagikan kepada tiga komponen bernaung di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara. Kesetiaan kepada baginda Tuanku memberi impak yang besar kepada pentadbiran seluruh negara itu sendiri.

    Maka, tidak dinafikan Seri Paduka Baginda YDPA memegang kedudukan yang tinggi juga di sisi agama.

  • Taat kepada raja adalah tanggungjawab rakyat

    Kedudukan seorang raja dan pemerintah mempunyai keistimewaan dalam sebuah organisasi kehidupan manusia. Taat kepada raja adalah wajib dan menjadi tuntutan di sisi syarak sebagaimana dalam firman Allah SWT: "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'Ulil-Amri' (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu." (Surah al-Nisaa' ayat 59)

    Islam mengajar mentaati pemerintah pada setiap perkara yang makruf. Ini kerana arahan pemerintah selagi ia menyeru kepada kebaikan dan kemaslahatan rakyat secara umum hendaklah didengar serta ditaati walaupun arahan yang dikeluarkan tidak dipersetujui oleh pandangan peribadi segelintir rakyat.

    Perkara ini dijelaskan dalam satu kaedah fiqh yang masyhur yang menyatakan setiap arahan atau urus tadbir seorang pemerintah kepada rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.

    Oleh itu, memberikan taat setia kepada pemerintah dalam setiap perkara makruf adalah kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang rakyat.

    Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA: "Wajib bagi setiap Muslim patuh dan taat (kepada pemimpin) terhadap apa yang dia suka dan dia benci, selagi dia tidak diperintah melakukan maksiat. Oleh itu, apabila dia diperintah melakukan maksiat maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat." (Hadis Riwayat al-Bukhari (7144) dan Muslim (1839))

  • Adab menegur pemimpin

    Setiap pemimpin adalah manusia biasa yang tidak maksum iaitu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan sewajarnya ditegur atas kesilapan itu. Walaupun demikian, sebagai seorang Muslim, kita hendaklah memberi teguran mahupun nasihat dengan pendekatan yang penuh hikmah sesuai dengan peringkat dan darjat seseorang individu agar tujuan nasihat serta teguran itu dapat difahami dan diterima dengan baik.

    Menegur seseorang yang melakukan kesilapan mestilah tidak bertujuan membuka keaiban, terutama apabila teguran itu ditujukan kepada pemimpin dan mereka yang wajar dihormati serta ditaati. Penggunaan kata-kata kesat dan tidak hormat dalam memberi teguran kepada orang lain adalah sangat tidak beradab yang perlu dielakkan.

    Hayatilah adab dalam menegur dan berdakwah yang diajarkan Allah SWT kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS ketika mereka diutuskan kepada Firaun.

    Firman Allah SWT: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha ayat 44)

    Oleh itu, dapat kita ambil iktibar daripada ayat ini, bahawa dakwah yang terbaik kepada seseorang pemimpin adalah dengan cara terhormat dan penuh adab serta kesopanan walaupun pemimpin berkenaan zalim dan sombong.

  • Kesimpulan

    Ketaatan kepada pemerintah adalah tuntutan syarak dan tanggungjawab kita sebagai rakyat. Terdapat banyak nas syarak seperti hadis yang menekankan kewajipan mentaati pemerintah termasuk hadis yang menyebut bahawa sultan atau pemerintah adalah bayangan Allah SWT, namun sanad hadis itu lemah dihuraikan dalam artikel kami - Irsyad Al-Hadith Siri ke-281: Pemerintah adalah bayangan Allah.

    Bagaimanapun, maksud hadis itu adalah sahih dalam menerangkan ketinggian kedudukan dan keistimewaan seorang sultan atau pemerintah yang wajib ditaati. Walaupun hadis itu statusnya daif, ramai ulama yang menerimanya dalam bab targhib dan tarhib iaitu sebagai galakan melakukan kebaikan serta menggerunkan daripada melakukan keburukan.

    Jadikan kemudahan media sosial satu medan dakwah dengan penuh hikmah dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, bukan medan menjatuhkan serta menghina orang lain terutama kedaulatan institusi beraja yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara.

    Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT memberkati pemerintah di negara kita dan memberi keselamatan serta kesejahteraan yang berpanjangan kepada rakyat Malaysia.

    Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 5:59 AM