ANTARA barang jualan warga asing yang disita dalam operasi di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL
ANTARA barang jualan warga asing yang disita dalam operasi di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam. FOTO ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak sembilan sitaan barangan diambil terhadap warga asing yang berniaga di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Antara barang jualan warga asing yang disita dalam operasi itu ialah sayur-sayuran serta buah-buahan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu diambil menerusi Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dan Pejabat Cawangan Batu.

"Hasil tindakan khas ini, sebanyak sembilan sitaan barangan jualan warga asing diambil di bawah UUK 3(1), Undang-undang Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

"DBKL juga melaksanakan satu tindakan pindah halangan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Menurutnya, DBKL turut mengeluarkan dua notis tawaran kompaun di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

"Ia adalah bagi kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen sah.

"Kami juga mengeluarkan tiga notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan mendirikan struktur tanpa kebenaran," katanya.

Katanya, semua barangan disita dan dipindah halangan dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini, untuk rekod dan dokumentasi.

"Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:40 PM