GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
Datuk Mohd Ajib Ismail

Setiap individu diberikan kebebasan untuk memilih ketua dan pemimpin bagi mentadbir kehidupan bermasyarakat. Keperluan kepada sebuah kepemimpinan dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Walau bagaimanapun ajaran Islam menggariskan ciri-ciri kepemimpinan yang perlu dipertimbangkan iaitu Al-Qawiy dan Al-Amin atau kuat, cekap dan berintegriti. Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran  surah al-Qasas ayat 26  yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." Kuat bermaksud mempunyai kemampuan untuk mentadbir dari sudut fizikal dan sihat tubuh badan, kemampuan berfikir dan menyelesaikan permasalahan, mempunyai daya kreativiti yang tinggi, memiliki kebijaksanaan dan melaksanakan keadilan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama. Manakala amanah atau berintegriti pula bermaksud seseorang yang boleh dipercayai, tidak mengambil kesempatan dengan kedudukan yang diperoleh untuk kepentingan peribadi serta menunaikan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin, jujur dalam kata-kata dan tidak memungkiri janji.

Selain itu, seorang pemimpin yang berkualiti harus menghayati sifat-sifat Rasulullah SAW seperti siddiq iaitu benar dalam perkataan dan perbuatan, fatonah iaitu kecerdasan akal dan kebijaksanaan, amanah, dan tabligh iaitu menyampaikan risalah Allah SWT dan menegakkan syariat Islam untuk mencapai tahap kemajuan yang sebenar ke arah kesejahteraan negara. Melalui kebijaksanaan dan kecerdasan pemikiran, seseorang pemimpin mampu mentadbir dan menjaga keselamatan negara dan rakyat daripada sebarang ancaman. Dalam hal tersebut, Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya." (Surah al-An'am ayat 90).

Kebijaksanaan dan kesabaran pemimpin dalam mengemudi bahtera negara amat diperlukan dalam menyelesaikan kemelut dan permasalahan ummah sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami." (Surah al-Sajdah ayat 24).

Pemimpin bijaksana bukan sekadar menyerlah ketokohannya dalam bidang agama, tetapi juga pengurusan dan pentadbiran, ekonomi, sosial dan bidang lain seperti yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW.

Seseorang pemimpin mesti mempunyai sifat tabligh iaitu berusaha dengan sedaya upaya untuk menyampaikan risalah Islam merangkumi perintah dan larangan Allah SWT kepada seluruh masyarakat. Perkara tersebut dapat dijayakan melalui pelbagai egenda dan dasar yang dibangunkan berteraskan nilai-nilai ajaran Islam. Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 67 bermaksud: "Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir."

Pemimpin juga harus bersifat amanah dan boleh diberikan kepercayaan oleh rakyat. Firman Allah yang bermaksud: "Ketika saudara mereka - Nabi Nuh, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu." (Surah al-Syu'ara' ayat 106-107).

Pemimpin mesti sentiasa diingatkan agar bersifat amanah di dalam melaksanakan tugas kerana ia membawa keamanan dan kesejahteraan masyarakat. Pelaksanaan segala dasar dan inisiatif yang dirancangkan hendaklah benar-benar dapat diterima dan memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan. Nabi Muhammad SAW menegaskan di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya." (Hadis Riwayat Ahmad).

Ajaran Islam mengingatkan kepada sesiapa sahaja yang memikul amanah agar tidak menggunakan kedudukan atau harta yang dipertanggung- jawabkan kepadanya untuk kepentingan peribadi kerana ia adalah tindakan yang diharamkan. Perbuatan tersebut termasuk dalam perlakuan mengambil harta secara batil dan ghulul seperti untung atas angin, menggunakan harta kerajaan atau syarikat untuk tujuan peribadi dan sebagainya. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 2 yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) adalah dosa yang besar."

Pemimpin yang baik mesti mempunyai sifat siddiq iaitu benar, jujur dan tidak berdusta. Firman Allah yang bermaksud: "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi." (Surah Maryam ayat 41).

Antara ciri-ciri pemimpin yang benar adalah sentiasa istiqamah berpegang kepada prinsip kebenaran walaupun majoriti tidak menerima serta berusaha merealisasikan janji-janji atau manifesto dan agenda yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Sifat jujur dan benar dapat mengelakkan ketirisan dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa dan perbuatan rasuah yang berleluasa. Pemimpin yang tidak mengabaikan tugasnya akan mendapat kepercayaan dan keyakinan pelbagai pihak sekali gus meningkatkan produktiviti untuk kemajuan negara.

Setelah kepemimpinan dipilih mengikut proses yang ditetapkan, tanggungjawab rakyat adalah memberi ketaatan kepada pemerintah sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." (Surah al-Nisa' ayat 59).

Hayatilah titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menyeru rakyat untuk bersatu hati dalam membentuk masyarakat yang lembut berbicara, halus dalam berpesan, harmoni dalam ikatan persaudaraan, jujur dalam pekerjaaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 7:01 AM