FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Datuk Mohd Ajib Ismail

Aksi dan gelagat mencuit hati rakyat Malaysia menyambut ketibaan rombongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta kerabat diraja dalam program jelajah Kembara Kenali Borneo menarik perhatian banyak pihak. Sambutan luar biasa dan keterujaan dalam kalangan rakyat jelas kelihatan susulan keperibadian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku serta Raja Permaisuri Agong yang merendah diri bagi mencemar duli berangkat menelusuri jalan pesisiran pantai dan kawasan pedalaman kerana ingin bertemu rakyat jelata. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah agar rakyat dapat menjalani kehidupan secara harmoni dan bersatu hati antara satu sama lain sekali gus membuktikan betapa penting hubungan kemesraan dijalinkan demi menyemarakkan perpaduan.

Melihat kepelbagaian bangsa, budaya dan agama masyarakat di Borneo, mengingatkan penulis kepada pengalaman sendiri ketika berada di Sarawak yang menyaksikan suasana penuh harmoni kehidupan bermasyarakat yang menerima baik perbezaan kaum dan agama bermula dari sebuah keluarga. Bahkan terdapat sebuah perkampungan di kawasan pedalaman yang didiami oleh masyarakat Bidayuh menganut agama Islam dan Kristian namun menjalani kehidupan dengan budaya hormat antara satu sama lain sehingga mampu bekerjasama membangunkan sebuah perkampungan. Masyarakat Malaysia hakikatnya menjunjung tinggi nilai agama dan kepercayaan pada masa yang sama meraikan kepelbagaian sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara.

Kepelbagaian bangsa, budaya dan agama dinyatakan sebagai sunnatullah sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Kepelbagaian bangsa, budaya dan agama juga tercatat dalam tradisi sejarah Islam misalnya demografi masyarakat Madinah yang didiami oleh bangsa daripada pelbagai benua, budaya dan warna kulit. Komposisi agama dan kaum di Madinah pada zaman Rasulullah SAW terdiri daripada pelbagai agama dan pegangan seperti Yahudi, animisme atau pagan, Nasrani dan Islam. Walau bagaimanapun perbezaan tersebut tidak menjadi penghalang kepada bangsa Madinah untuk menjalani kehidupan dengan aman dan damai serta saling bertoleransi. Sejarah telah membuktikan bahawa mereka mampu meraikan perbezaan dan berkasih sayang antara satu sama lain berasaskan satu perlembagaan iaitu Piagam Madinah yang memelihara hak-hak beragama. Pengalaman membangunkan negara Madinah menunjukkan bahawa agama seharusnya menjadi medium penyatuan berbanding menjadi penyebab perpecahan.

Ajaran Islam tidak melarang kaum Muslimin untuk berbuat baik terhadap kaum bukan Islam yang tidak memusuhi umat Islam. Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." Berdasarkan ayat tersebut, toleransi hanya berlaku apabila kedua-dua pihak saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara haruslah berpandukan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta'ayush) iaitu tiada kompromi dalam soal akidah umat Islam, pergaulan hendaklah dalam suatu yang makruf bukan mungkar, mengelakkan perkara yang memudaratkan orang Islam dan tidak melakukan suatu perbuatan yang haram secara qat'ie.

Teras perpaduan dalam sesebuah masyarakat mestilah berlandaskan prinsip kenegaraan seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Nilai-nilai murni seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin, keprihatinan dan penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama harus diterapkan pada setiap masa. Dalam hal ini, pihak kerajaan telah pun mengambil inisiatif memupuk budaya masyarakat Madani menerusi usaha pembentukan jati diri berteraskan Rukun Negara yang direncana melalui pelbagai program di bawah flagship Kembara Perpaduan. Selain itu, Majlis Penasihat Perpaduan Negara juga akan diaktifkan semula dan diperkukuh untuk menangani isu perpaduan, memantau pelaksanaan dasar serta mencadangkan langkah penyelesaian yang berkesan sebagaimana ditegaskan di dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menyoroti kembali sejarah ketamadunan Islam, sesebuah pemerintahan tidak selamanya dipenuhi dengan peristiwa perebutan kuasa dan pertumpahan darah. Sebaliknya pemerintahan sultan yang adil dan bijaksana menjadi faktor terpenting dalam kejayaan sesebuah tamadun. Sejarah telah merakamkan kebijaksanaan sultan-sultan Andalusia misalnya Al-Hakam yang membina pelbagai kemudahan awam seperti masjid, hospital, dan pusat perniagaan. Justeru kebijaksanaan seseorang pemimpin terbukti apabila dapat memimpin masyarakat ke arah kecemerlangan dan kejayaan yang hakiki dari segi jasmani dan rohani. Sultan Perak, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat Islam akan sentiasa diuji, namun umat Islam wajib memilih untuk melihat elemen persamaan, yang berupaya membina perpaduan ummah dalam semangat 'biduk lalu kiambang bertaut.' Baginda juga bertitah bahawa masyarakat yang kuat terbina melalui perpaduan yang kukuh dan disebabkan itu, perpaduan sangat dianjurkan dan diterapkan menerusi amalan-amalan ibadah seperti solat berjemaah, solat Jumaat, bertadarus al-Quran dan berqiamullail di masjid. Begitu juga falsafah yang tersirat di sebalik ibadah-ibadah zakat, sedekah, wakaf dan haji, juga tuntutan melakukan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 6:00 AM