SIKAP tergesa-gesa yang dimaksudkan di dalam hadis merupakan antara sifat mazmumah atau dikeji oleh agama.
SIKAP tergesa-gesa yang dimaksudkan di dalam hadis merupakan antara sifat mazmumah atau dikeji oleh agama.
Nor Asree bin Mohd Noh

HAMPIR sebulan yang lalu, tular mengenai tragedi yang amat menyayat hati dan menjadi perbualan masyarakat dunia, rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, Indonesia. Tragedi ini dikatakan kedua terburuk dalam sejarah sukan bola sepak dunia, di mana telah menyebabkan 135 nyawa terkorban. Mangsa korban tidak terkecuali menimpa berlaku pada dewasa sahaja, bahkan melibat sebilangan kecil kanak-kanak. Sebelum ini, insiden hampir sama pernah berlaku di Lima, Peru, yang telah mengorbankan seramai 328 orang ketika aksi kelayakan Olimpik Tokyo antara Peru dan Argentina pada 24 Mei 1964. 

Kejadian tersebut tercetus selepas penyokong pasukan Arema FC tidak berpuas hati dengan kekalahan 2-3 ke atas pasukan Persebaya Surabaya, mengakibatkan ribuan penyokong meluru masuk ke kawasan padang. Polis bertindak melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan keadaan menjadi huru-hara. Lantaran itu, ribuan penonton kemudian bersesak untuk keluar dari stadium. Oleh disebabkan semburan gas pemedih mata, ramai yang mengalami sesak nafas, malah pihak berkuasa Indonesia melaporkan mangsa yang terkorban antaranya akibat berhimpit, bersesak dan dipijak.

Islam agama yang mengajar umatnya supaya bersabar dan tidak bertindak tergesa-gesa dalam sesuatu perkara. Dalam bahasa Melayu ertinya sama dengan perkataan terburu-buru, gopoh gapah atau cepat-cepat dalam melakukan sesuatu perkara. Bahkan umatnya disarankan untuk bertenang atau tidak tergesa-gesa dalam membuat sesuatu tindakan. Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad RA, Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya sikap tergesa-gesa itu daripada syaitan." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Sikap tergesa-gesa yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut merupakan antara sifat  mazmumah  atau dikeji oleh agama. Hal ini kerana implikasi dan kesannya begitu besar terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Contohnya dalam percakapan, apabila seseorang yang mengungkap perkataan yang kurang cermat disebabkan tergesa-gesa, maka ia mampu mengguris hati seseorang lain, atau menyebabkan kaedaan menjadi panik atau mengubah keputusan atau kedudukan sesuatu perkara, tanpa berfikir panjang. Bak kata peribahasa: "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya". Maksudnya seiring dengan kata pujangga Arab: "fi al-Taanni al-Salamah, wa fi al-'Ajalati al-Nadamah", bererti (seseorang) dalam (keadaan) berhati-hati (cermat) ada keselamatan dan (seseorang) dalam tergesa-gesa ada penyesalan.

Islam mengajar kita agar bertenang dan bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Sehinggakan dalam ibadah, umat Islam disuruh untuk tidak tergesa-gesa dalam melaksanakannya supaya ia dapat mendatangkan fokus yang akhirnya akan menatijahkan sesuatu hasil yang baik dan sempurna. Misalnya dalam solat, apabila seseorang melakukan dalam keadaan gopoh gapah, maka orang yang bersolat itu pasti tidak berada dalam keadaan khusyuk, malah mungkin tergolong dalam kumpulan orang yang lalai. Hal ini disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran:  "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang bersolat, (iaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya."  (Surah al-Ma'un: 4-5)

Ada juga riwayat lain bahawa Nabi melarang seseorang yang telah lambat hadir solat berjemaah daripada berlari atau bercepat-cepat bagi mendapatkan imam kerana perbuatan ini akan menjadikan orang tersebut tercungap-cungap dalam solat. Maka, bacaannya mungkin akan silap dan fokusnya pula sirna. Dalam berdoa, Nabi SAW berpesan perkara sama sepertimana sabdanya: "Doa seseorang hamba akan sentiasa dikabulkan selama mana dia tidak berdoa untuk (perkara) dosa atau memutuskan hubungan keluarga, atau (berdoa dalam keadaan) tidak tergesa-gesa." Nabi ditanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa?" Baginda bersabda: "Seseorang berkata: Sesungguhnya aku telah pun berdoa dan sesungguhnya aku telah pun berdoa, namun aku belum melihat (doa) dikabulkannya untukku." Maka dia pun merasa rugi (putus asa) ketika itu, lalu dia meninggalkan untuk doa (lagi).

Penulis melihat bahawa peristiwa yang meragut nyawa di Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur baru-baru ini merupakan tindakan yang tergesa-gesa oleh kedua-dua pihak, iaitu penonton dan pegawai bertugas. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Hanya disebabkan marah dan tidak puas hati dengan keputusan perlawanan. Dikatakan kira-kira 3,000 penonton bertindak melulu dengan merusuh di padang beramai-ramai. Para pegawai polis yang bertugas pula walaupun pada asalnya mereka ingin menyuraikan tunjuk perasaan tersebut, lalu melepaskan gas pemedih mata. Namun, ia menjadikan keadaan lebih buruk, apabila berlaku rempuhan antara satu dengan yang lain menuju pintu keluar utama. Ada yang mengalami kesukaran bernafas. 

Tindakan susulan dan jalan penyelesaian telah pun dibuat oleh pihak berkuasa di sana. Apa yang lebih penting sekarang ini adalah supaya perkara ini tidak berulang lagi. Tambahan lagi, ia sekadar sukan. Perkara yang dianggap suka-suka atau mengisi masa lapang. Sungguhpun setiap orang mempunyai minat dan kecenderungan pada pasukan atau  team  masing-masing, tetapi adakah seseorang yang waras akalnya bertindak sedemikian tanpa berfikir panjang, yang mana perbuatan ini tidak dapat juga mengubah keputusan, bahkan merisikokan diri masing-masing. Adakalanya sehingga dapat memutuskan siraturahim kerana sukan. Selain itu, segala respon balas oleh pihak berkuasa terhadap sesuatu yang berlaku juga perlu diamati sebaiknya sebelum membuat keputusan, walaupun dalam jangka yang pendek dan cepat, bagi memikirkan kesan selepas itu. Dalam masa sama, perlawanan demi perlawanan dalam sukan akan berlaku sepanjang masa dan zaman, walaupun kebarangkalian untuk berlaku sesuatu rusuhan atau tragedi itu sangatlah kecil peratusannya, akan tetapi persediaan mengenai garis panduan dan prosedur tetap perlu diulang-ulang dan ditegaskan oleh pihak penganjur sekiranya betul-betul terjadi perkara tersebut. Sejarah ini mengajar 'orang yang mengerti' supaya lebih toleransi dan berjiwa besar untuk tidak terlalu beriya-riya dalam perkara yang tidak menjadi tunjang dalam kehidupan seseorang.

Penulis Ketua Jabatan Bahasa dan Wajib Universiti Pusat Asasi dan Pengajian Umum Universiti Melaka (Unimel)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 5:59 AM