PEMAIN Chelsea, Eden Hazard harap pihak pengurusan The Blues dapat membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan baharu nanti. FOTO Reuters
PEMAIN Chelsea, Eden Hazard harap pihak pengurusan The Blues dapat membawa masuk pemain baharu pada jendela perpindahan baharu nanti. FOTO Reuters
Reuters

EDEN Hazard dijangka akan kekal bersama Chelsea namun menegaskan, dia tidak perlu tergesa-gesa menandatangani kontrak baharu ketika menegaskan kelab perlu membuktikan perancangan membawa masuk pemain yang boleh memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kontrak pemain berusia 27 tahun ini akan tamat pada 2020 dan Chelsea perlu memberi jaminan untuk mengekalkannya kerana pemain itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain di Sepanyol.

Chelsea menamatkan saingan di tangga kelima liga dan mempunyai peluang menamatkan musim dengan lebih bermakna jika mampu menjulang Piala FA pada pertembungan menentang Manchester United, Sabtu ini.

Hazard menegaskan, kelab itu mesti berusaha menguatkan skuad untuk mencabar kejuaraan musim depan.

“Saya masih menunggu beberapa pemain baharu musim depan. Saya mahukan pemain yang bagus, kerana saya mahu memenangi Liga Perdana musim depan,” kata Hazard kepada media British.

Penyerang Belgium ini berkata, kontrak akan datang mungkin akan menjadi yang terakhir bakal ditandatangi ketika dia mahu mencapai kemuncak dalam karier.

“Sebab itulah saya perlukan masa. Ia sesuatu yang besar, jadi saya perlu memikirkan banyak perkara. Tetapi satu perkara yang jelas, saya gembira di sini,” katanya.

“Saya rasa, final Piala FA bukannya perlawanan terakhir saya bersama Chelsea. Ia perlawanan terakhir musim, itu saja,”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 3:13 PM