Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Perak tidak akan tergesa-gesa membuka Pulau Pangkor kepada pelancong berpandukan gelembung hijau pelancongan.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, pembukaan pulau peranginan berkenaan juga akan bersandarkan kepada kejayaan pelaksanaan program rintis itu di Langkawi, Kedah.

Menurutnya, semua negeri juga menyatakan hasrat supaya Kerajaan Pusat membenarkan pusat pelancongan dibuka menerusi program gelembung berkenaan.

"Kita tidak mahu tergesa-gesa walaupun tahu permintaan tinggi, kita bersabar seminggu sahaja lagi. Lihat dahulu apa berlaku di Langkawi dan selepas tu kita akan bermesyuarat.

"Kalau Langkawi ok (pelaksanaannya berkesan) dan tiada kes baru Covid-19, maka tentu kerajaan akan membenarkan pusat pelancongan (lain) di buka termasuklah Pangkor," katanya pada sidang media selepas melawat kawasan terjejas ribut di sekitar Manjung di Dewan Amanjaya Fasa 3A, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan untuk membuka pulau itu juga perlu mengambil kira soal keselamatan penduduk setempat, peniaga dan nelayan bagi mengelakkan penularan jangkitan baharu.

Katanya, selain itu, pergerakan pelancong untuk ke Pulau Pangkor juga perlu ditangani dengan baik kerana pengangkutan utama ke pulau itu hanya menggunakan perkhidmatan feri sahaja.

"Pangkor hanya menggunakan feri bermakna orang akan berkumpul di jeti jadi (ia boleh menyebabkan berlaku) kesesakan kalau tidak ditangani dengan betul," katanya.

Saarani berkata, jika dibenarkan kelak, semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi program gelembung pelancongan itu akan diikuti sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Perak menjangkakan pembukaan pulau peranginan Pulau Pangkor kepada pengunjung pada 1 November depan berpandukan gelembung hijau pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 4:18 PM