Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Tidak perlu tergesa-gesa meminta mana-mana pemimpin sayap parti mengundur diri daripada jawatan mereka, sebaliknya buatlah pilihan ketika pemilihan parti pada bulan hadapan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan, sekiranya ada pihak yang tidak menyukai mana-mana individu yang bertanding bagi sesuatu jawatan, maka tidak perlu mengundi mereka.

"Saya percaya tidak perlu tergesa-gesa (gesa undur) sebab tidak lama lagi ada pemilihan, jadi jika kita tidak suka, tak perlu undi," katanya ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berundur dan tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti bulan hadapan.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, pemilihan parti dibuat secara terbuka dan mana-mana pihak boleh bertanding merebut jawatan berkenaan.

Mohamed Khaled mengadakan kunjungan ke UTM Skudai di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Mohamed Khaled mengadakan kunjungan ke UTM Skudai di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Semalam, media melaporkan Wanita Umno Titiwangsa menggesa supaya Noraini berundur supaya beliau dapat bertanggungjawab atau memperbetulkan salah laku sepanjang mengetuai sayap itu.

Kelmarin pula, dilaporkan majoriti Ketua Wanita Umno Bahagian mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita Umno selepas pemilihan parti itu bulan hadapan.

Sementara itu, Mohamed Khaled pula enggan memberi kata putus ketika ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang atau bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi memandangkan beliau adalah Ahli Parlimen Kota Tinggi.

"Saya Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang dan Ahli Parlimen Kota Tinggi," selorohnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:57 PM