Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, syarikat perunding kewangan melihat keadaan ekonomi ketika ini memerlukan orang ramai membuat pengiraan secara khusus dalam perbelanjaan terutama membabitkan pembiayaan perumahan berikutan ia mengambil masa yang panjang untuk dilangsaikan.

Selain itu, prospek penjanaan pendapatan juga perlu diambil kira bagi memastikan ansuran pembiayaan yang perlu dilaksanakan tidak terjejas pada masa depan.

Pengasasnya, Rohani Mohd Shahir berkata, pihaknya berpendapat, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk membeli rumah terutama ketika berdepan perbelanjaan yang mencabar.

Beliau berkata, sekiranya seseorang itu sudah lama membuat kajian mengenai pembelian rumah dan mempunyai pengurusan wang yang baik, mereka boleh melakukan pembelian kediaman pada bila-bila masa.

“Sekiranya seseorang itu baru mendapat tawaran untuk membeli rumah pada masa ini dan tidak begitu bersedia dari segi kewangan, saya melihat ia satu langkah yang tergesa-gesa dan boleh mengakibatkan kegagalan untuk menguruskan kewangan lebih baik.

“Selain itu, sekiranya orang ramai ingin membeli rumah, pastikan kediaman itu tidak mempunyai aksesori pembinaan yang banyak diimport kerana ia boleh menyebabkan harga jualan lebih tinggi berikutan kejatuhan ringgit ketika ini,” katanya kepada Bisnes Metro.

Mengenai prospek pendapatan, beliau berkata, pembeli rumah perlu memastikan pekerjaan mereka boleh menjamin untuk menjana pendapatan dalam jangka masa panjang selain menjana pendapatan menerusi pelaburan bagi memastikan aliran tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:04 AM