PROTON X70
PROTON X70
Lizam Ridzuan


JUALAN kenderaan di negara ini sepanjang 2019 sedikit perlahan berbanding setahun lalu.

Namun ada segmen semakin mendapat tempat pada hati pembeli iaitu Kenderaan Utiliti Sukan (SUV).

Peningkatan permintaan sehingga 30 peratus membuatkan pengeluar kenderaan mula menawarkan SUV sebagai antara model dalam barisan jualan mereka.

Malah sepanjang 2019, SUV juga sering menjadi penghias ruang PANDU UJI Vroom Metro Ahad, mengatasi model lain seperti sedan atau kenderaan pelbagai guna (MPV).

Ayuh, kita imbas kembali antara model SUV menarik berharga bawah RM150,000 pernah kami cuba dan apakah kelebihan setiap jenama yang ditawarkan itu.

Proton X70

Sejak diperkenalkan ke pasaran tempatan pada penghujung 2018, model SUV pertama Proton ini menjadi titik permulaan peningkatan angka jualan jenama itu di negara ini.

Selain tepat pada masanya, harga dan spesifikasi yang diletakkan bagi sebuah SUV segmen C pada sekitar harga untuk segmen B turut menyebabkannya mendapat perhatian ramai.

Dijana enjin 1.8 TGDi, ia menghambur kuasa 184PS pada 5,500 rpm dan tork 285Nm pada 1,700 hingga 4,400 rpm selain transmisi enam kelajuan automatik dan manual.

Selain rekaan luaran yang elegan, bahagian dalamannya menerima sentuhan premium dengan fungsi ketersambungan ‘Hi, Proton’ menjadikan X70 kenderaan pintar pertama bagi jenama tempatan.

Ciri keselamatannya juga antara terbaik. Ia dilengkapi enam beg udara SRS, sistem pengawasan tekanan tayar, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan kerangka berketahanan tinggi untuk perlindungan lebih baik kepada keseluruhan penumpang.

Untuk pasaran Malaysia, empat varian ditawarkan. Ia dijual pada harga RM99,800 sehingga RM123,800.

Harga terkini versi pemasangan tempatan (CKD) di Tanjong Malim, Perak pula akan diumumkan kelak.

Perodua Aruz

PERODUA Aruz
PERODUA Aruz

Model SUV ini paling laris jualannya kerana faktor rekaan dan posisi harga terbaik ditawarkan oleh Perodua.

Perodua Aruz menampilkan rekaan lebih sporty dan mampu memuatkan tujuh penumpang.

Ia menjadi pilihan naik taraf daripada pengguna model kompak, sedan dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Model ini dijana enjin 1.5 liter Dwi-VVT-i DOHC yang menjana 75kW pada 6,000 rpm dan 133Nm pada 4,200 rpm.

Ia menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang mencatatkan

15.6 kilometer (km) untuk setiap liter.

Selain faktor ruang dalaman praktikal, ia juga dilengkapi sistem multimedia terbaik dengan kamera undur dan pilihan kerusi balutan kulit atau fabrik.

Perodua Aruz ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5X dan AV dijual pada harga RM72,900 serta RM77,900.

Toyota Rush

TOYOTA Rush
TOYOTA Rush

Meskipun berkongsi platform dan reka bentuk sama dengan Perodua Aruz, Toyota Rush mempunyai ciri kemasan berbeza.

SUV ini turut mempunyai kapasiti tujuh tempat duduk tetapan 2-3-2 dengan tiga barisan. Ia ciri penting menjadikan kenderaan ini lebih fleksibel.

Nisbah 60:40 bagi lipatan tempat duduk baris kedua dan 50:50 bagi baris ketiga memudahkan ia membawa muatan mengikut keperluan.

Jika baris ketiga tidak diguna, ruang kargonya boleh menampung muatan sehingga 217 liter.

Terpulang pada pilihan pembeli yang mana harus dibeli namun buat peminat jenama Toyota, sudah pasti model Rush menjadi pilihan

Untuk pasaran Malaysia, Toyota Rush serba baharu dijual pada harga RM97,000 (1.5S) dan RM93,000 (1.5G) (atas jalan tanpa insurans) termasuk jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan ditawarkan.

Subaru XV

SUBARU XV
SUBARU XV

Model Subaru XV menawarkan rekaan SUV crossover dalam segmen B yang maskulin dan sporty sesuai buat mereka dengan gaya hidup aktif.

Kelebihan model ini, ia dijana enjin Boxer 2.0 liter CVT dengan pacuan semua roda simetri (AWD) yang menjana kuasa 156PS pada 6,000 rpm dan tork 196Nm pada 4,000 rpm.

Ia juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik seperti sistem brek anti-kunci (ABS) empat saluran, beg udara SRS dan Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC).

Ruang dalaman selesa dan praktikal dengan kapasiti kargo 345 liter membolehkan ciri fleksibel pada kerusi belakang dengan nisbah 60:40.

Untuk pasaran Malaysia, Subaru XV ditawarkan dengan tiga varian iaitu XV2.0i, 2.0i-P dan GT Edition pada harga RM117,788, RM124,788 dan RM130,788.

Mazda CX-5

MAZDA CX-5
MAZDA CX-5

Model terlaris buat jenama Mazda. CX-5 menawarkan ciri rekaan sporty dengan konsep keselesaan, kemudahan dan kestabilan serta prestasi enjin terbaik.

Sentuhan premium model ini diserlahkan dengan ketersambungan Mazda Connect, GVectoring Control Plus (GVC) serta janaan empat pilihan enjin iaitu 2.0L, 2.5L, 2.5L Turbo dan 2.2L Diesel.

Terbaharu, ia ditawarkan dengan enjin 2.5 Turbo bagi prestasi pemanduan serta kelancaran kuasa yang berterusan selain ruang dalaman praktikal dan elegan.

Untuk pasaran Malaysia, Mazda CX-5 ditawarkan dengan lima varian iaitu 2.0G 2WD, 2.0G 2WD High, 2.5G 2WD High, 2.2D 2WD High dan 2.5G 4WD Turbo.

Ia dijual pada harga RM137,379 sehingga RM181,970 dengan lima tahun jaminan dan penyelenggaraan percuma.

Honda HR-V

HONDA HR-V
HONDA HR-V

Honda HR-V adalah jenama SUV kompak bukan tempatan paling laris serta pendahulu jualan dalam segmennya.

Dilancarkan pada 2015, ia terjual melebihi 14,800 unit dalam tempoh Januari sehingga November 2019.

Ia juga menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

HR-V dijana enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC i dengan kuasa 142PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm pada 4,300 rpm dan untuk 152 PS serta 190Nm (hibrid).

Model ini menjadi pilihan kerana saiznya yang tidak terlalu besar, sporty selain selesa. Ruang dalamannya juga luas dan praktikal.

Pengenalan model baharu HR-V iaitu RS dan Hibrid pada awal tahun ini menambah pilihan kepada pengguna terutama model Hibrid adalah yang pertama kali ditawarkan untuk SUV kompak.

Untuk pasaran Malaysia, empat varian ditawarkan iaitu Honda HR-V 1.8L E, V, RS dan 1.5L Hybrid dijual pada harga RM108,120 sehingga RM124,120.

Nissan X-Trail

Nissan X-Trail bukan SUV sekadar rupa sebaliknya dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini bagi disesuaikan dengan permintaan pasaran.

X-Trail ditawarkan dengan dua enjin iaitu 2.5L dengan enjin 2,488cc DOHC dengan Dwi CVTC menghemburkan kuasa 171PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 233Nm pada 4,000 rpm.

Selain itu, ada 2.0L Hybrid dengan enjin 1,997cc DOHC Dwi CVTC suntikan bahan api terus menjana 144PS pada 6,000rpm dan tork maksimum 200Nm pada 4,400 rpm.

Empat varian dilancar di negara ini iaitu X-Trail 2.0L 2WD, 2.0L 2WD MID, 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid yang dijual pada harga RM133,888, RM145,888, RM153,888 dan RM159,888.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 5:10 AM