MACAN T varian terbaharu.
MACAN T varian terbaharu.
Lizam Ridzuan


PORSCHE menawarkan model Macan T yang bercirikan kenderaan urban kompak dan mewah untuk pasaran tempatan.

Ia varian terkini kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover dalam barisan model Macan dan dijual oleh pengimport dan pengedar utama Porsche di negara ini iaitu Sime Darby Auto Performance.

Ia datang dengan elemen kenderaan sport empat pintu yang mengekalkan rekaan elemen prestasi daripada model 911 dan 718.

Kod nama 'T' berkait rapat dengan pengalaman pemanduan prestasi dinamik digunakan jenama ini sejak 1960.

Ia juga membawa maksud 'Touring' untuk pengalaman pemanduan yang tulen hasil talaan tepat, peralatan eksklusif dan tenaga enjin yang cekap.

Untuk model Macan, kedudukan T ialah antara varian Macan dan Macan S serta Macan GTS sebagai yang tertinggi antara keempat-empat model ini.

Kemasan gabungan warna Kelabu Metalik Agate pada hadapan kenderaan, hiasan bilah sisi dengan logo Macan T dan spoiler pintu kargo, antara yang membezakan ia dengan varian Macan lain.

SUV kompak ciri prestasi.
SUV kompak ciri prestasi.

Cermin sisi SportDesign dengan bentuk-V pula menyerlahkan keunikannya.

Paip ekzos dwi-berkembar hitam berkilat sport, dengan bunyi tipikal Porsche antara ciri 'signature' yang terdapat pada Macan T ini selain bampar dan diffuser rekaan baharu.

Ia dilengkapi lampu utama LED serta Sistem Pencahayaan Dinamik Porsche (PDLS) untuk lampu selekoh.

Ia juga dipadankan dengan roda bersaiz 20 inci Macan S dengan warna titanium gelap.

Ruang kabin pula dilengkapi kerusi hadapan sport berserta ciri pemanas. Ia dibaluti material kulit hitam selain dilengkapi pelarasan lapan ketetapan elektronik.

KEMASAN eksklusif.
KEMASAN eksklusif.

Hiasan jam Sport Chrono pula ada pada papan pemuka serta pelindung ambang pintu dengan warna hitam aluminium dan logo Macan T eksklusif.

Untuk kemasan tambahan, sebagai opsyen, ia turut ditawarkan dengan roda stereng GT Sports serta kemasan gentian karbon dan ioniser.

Sistem hiburan infotainmen Pengurusan Komunikasi Porsche (PCM) dengan skrin sesentuh 10.9 inci dan navigasi atas talian adalah ciri standard model ini.

Dikuasakan dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder, ia menjana kuasa 265PS dan tork 400Nm.

Ia turut disertakan transmisi dwi klac tujuh kelajuan (PDK) dengan Pengurusan Cengkaman Porsche (PTM) pacuan semua-roda (AWD).

Selain tork yang responsif pada sebarang kelajuan, ia dilengkapi pakej Chrono Sport standard termasuk penukar mod dan butang Sport Response pada roda stereng untuk mencapai kelajuan 0 hingga 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 6.2 saat.

TEMPAT duduk sport.
TEMPAT duduk sport.

Kelajuan maksimumnya pula mencecah 232km/j.

Macan T dengan casis yang direndahkan 15 milimeter (mm) adalah juga satu-satunya model jenama itu dengan ciri suspensi keluli menerusi Pengurusan Suspensi Aktif Porsche (PASM).

Palang anti-olengan pada gandar hadapan juga lebih kukuh. Ia bagi mengoptimumkan suspensi yang tepat untuk trenkuasa dan kenderaan bagi menjadikan stereng lebih responsif dan tangkas.

Pemilik juga boleh menambah suspensi udara adiptif dengan PASM dan merendahkan lebih 10mm selain Porsche Torque Vectoring Plus (PVT Plus) sebagai opsyen bagi lebih kepuasan pemanduan.

Terdapat 13 warna boleh dipilih oleh pelanggan termasuk metalik, solid dan warna istimewa.

Model ini sudah dibuka untuk tempahan dan harganya akan diumumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 7:00 AM