GAYA terkni Mazda3 Liftback. FOTO Aizuddin Saad
GAYA terkni Mazda3 Liftback. FOTO Aizuddin Saad
Lizam Ridzuan


REKAAN Mazda3 Liftback serba baharu ini mula dipertontonkan melalui model konsep ‘KAI’ pada Tokyo Motor Show 2017.

Ia mencuri tumpuan kerana tampil dengan gaya futuristik menjadikan ia berbeza dengan model sebelumnya.

Vroom Metro Ahad mengujinya baru-baru ini melalui varian Mazda3 1.5 Skyactiv-G Liftback dan untuk pasaran Malaysia, ada satu lagi varian tertinggi iaitu 2.0 Skyactiv-G Liftback (High Plus).

Menyingkap mengenai model ini, ia generasi keempat sejak Mazda3 diperkenalkan ke pasaran global sekitar 2003 dan ditawarkan dalam versi sedan serta hatchback.

Rekaan Mazda3 ini ditafsirkan melalui bahasa rekaan ‘Kodo: Soul of Motion’ generasi ketujuh dengan karakter falsafah Jepun ‘less is more’.

RUANG papan pemuka premium. FOTO Aizuddin Saad
RUANG papan pemuka premium. FOTO Aizuddin Saad

Ia jelas dilihat melalui rekaan hadapan dengan gril lebih besar, lampu hadapan LED lebih nipis serta bampar lebih sporty dengan gaya ringkas.

Tiang-C yang lebih lebar serta kurang garisan pada bahagian bentuk kerangka menyerlahkan lagi penampilan luarannya.

Selain itu, lampu belakang bersepadu LED, spoiler atas pintu dengan lampu brek ketiga, bampar dengan dua tona dan
dwi ekzos melengkapkan keseluruhan rekaannya.

Untuk varian ini, ia ditawarkan dengan rim aloi 16 inci dengan saiz tayar 205/60 manakala bagi varian 2.0, didatangkan dengan saiz tayar 18 inci.

Menjengah ke ruang dalamannya, Mazda3 tampil dengan gaya premium terutama kemasan kulit lembut menghiasi papan pemuka dan pintu.

Pada bahagian itu juga rekaan pelbagai lapisan diperkenalkan manakala skrin infotainmen bersaiz 8.8 inci pula memaparkan pelbagai fungsi yang boleh disambung ke aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Ia juga membolehkan ketersambungan Bluetooth untuk memainkan muzik pilihan dan panggilan telefon bebas tangan melalui punat yang ada pada stereng ‘Electronic Power Assisted Steering’ (EPAS).

Sistem audio terbaik turut ditawarkan pada model Mazda3 ini dengan lapan pembesar suara untuk alunan muzik yang lunak seisi kenderaan.

Sebagai model premium, turut disediakan dua pengecas USB iaitu pada papan pemuka dan konsol tengah.

PANEL meter gabungan TFT LCD dan analog. FOTO Aizuddin Saad
PANEL meter gabungan TFT LCD dan analog. FOTO Aizuddin Saad

Konsol itu juga memuatkan perehat lengan, butang pemutar larasan infotainmen, brek parkir elektronik dan tombol gear.

Untuk pemandu, ia dilengkapi panel meter TFT LCD tujuh inci gabungan analog serta Paparan Aktif Pemandu (Heads-Up Display) dengan visual meter kelajuan pada bayangan cermin hadapan untuk lebih fokus pada pemanduan.

Varian ini didatangkan dengan kerusi material fabrik dengan ruang belakang boleh direbahkan untuk nisbah 60:40.Ruang but 358 liter memberi lebih muatan untuk ke sesuatu destinasi.

Untuk prestasi pemanduan, dijana enjin 1,496 cc Skyactiv-G DOHC dengan VVT yang menjana 118 hp pada 6,000 rpm dan tork 153Nm pada 4,000 rpm serta kotak gear transmisi enam kelajuan Skyactiv Drive dengan pilihan mod manual.

Melalui pacuan roda hadapan, ia mengalirkan tenaga dengan dua mod pemanduan boleh dipilih sama ada standard atau sports yang memberikan lebih kuasa kepada tork.

LAMPU hadapan nipis dengan indikasi LED. FOTO Aizuddin Saad
LAMPU hadapan nipis dengan indikasi LED. FOTO Aizuddin Saad

Meskipun hanya 1.5 liter namun enjinnya menawarkan hemburan kuasa seumpama jentera 2.0 liter dengan pengendalian yang mantap pada pelbagai kelajuan.

Ketika melewati selekoh, suspensi hadapan MacPherson dan belakang dengan Torsion Beam lebih stabil dan kekal pada kedudukan.

Ia memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pemanduan.

Untuk lebih merasai tenaga yang dihasilkan enjin ini, mod manual boleh dipilih dengan tukaran mudah enam kelajuan bagi ciri prestasi litar.

Secara keseluruhan, selepas memandu ujinya, Mazda menampilkan rekaan berbeza buat mereka yang gemarkan sebuah kenderaan hatchback sporty.

Bukan sekadar prestasi enjin yang mantap, ia turut didatangkan dengan sistem keselamatan terbaik seperti tujuh beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Bantu Mula Bukit (HLA).

ENJIN 1.5 liter Skyactiv-G. FOTO Aizuddin Saad
ENJIN 1.5 liter Skyactiv-G. FOTO Aizuddin Saad

Varian High Plus pula dilengkapi dengan ciri bantu pemandu termaju menerusi sistem i-Activesense.

Kawalan mantap pada kenderaan dengan sistem ‘G-Vectoring Control Plus’ serta rekaan termaju hasil ‘Skyactiv Vehicle Architecture’ adalah kombinasi terbaik dalam meletakkan kereta ini dalam kelas tersendiri.

Tangki bahan api dengan kapasiti 51 liter membolehkan ia bergerak sejauh lebih 500 kilometer (km) bergantung kepada corak pemanduan, muatan dan faktor geografi.

Untuk lebih efisien, teknologi ‘Mazda i-Stop Idling’ juga membantu untuk pergerakan henti dan mula ketika kereta berhenti.

Untuk pasaran Malaysia, Mazda3 1.5 Skyactiv-G Liftback dijual pada harga RM139,620 (atas jalan tanpa insurans) dengan tujuh pilihan warna dan warna Kelabu Polymetal ini khusus untuk model hatchback.

#vroomHM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 5:15 AM