PROTON X50.
PROTON X50.
Lizam Ridzuan


PENGENALAN kenderaan utiliti sukan (SUV) di pasaran tempatan semakin meriah dengan pelancaran model baharu keluaran pelbagai jenama.

Untuk rekod, jualan SUV di negara ini pada tahun lalu mencatatkan 93,364 unit daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) 529,434 unit.

Meskipun begitu, ia sebenarnya terbahagi kepada beberapa segmen bagi disesuaikan dengan golongan sasar dan gaya hidup.

Kenderaan ini dibezakan daripada segi saiz, kapasiti enjin dan ciri teknologi, namun ia tetap menawarkan rekaan yang sporty serta tampil aktif.

Vroom minggu ini memaparkan enam pilihan model SUV segmen-B

pada harga RM90,000 hingga RM170,000

dalam pasaran tempatan yang setiap satu mempunyai kelebihan tersendiri.

PROTON X50

Ia adalah model SUV kedua buat jenama Proton. Ia menampilkan gaya rekaan premium dan sporty, malah antara yang termaju dalam kelasnya.

Model hasil kerjasama Proton dan Geely ini mula dipasarkan dalam pasaran pada hujung tahun lalu.

Empat varian ditawarkan iaitu 1.5T Standard, Executive, Premium dan 1.5TGDI Flagship.

Untuk rekaan luaran, ia tampil kompak, namun diserlahkan dengan ciri-ciri premium seperti gril hadapan unik selain lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim aloi 18 inci dan ekzos Quad berkembar.

Ruang dalamannya pula lengkap dengan kemasan dua tona, kombinasi meter LCD digital, bumbung panorama, konsol tengah 'terapung' untuk storan dan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI).

Ia juga dilengkapi kerusi larasan elektrik untuk pemandu, penyaman udara automatik dengan corong untuk penumpang belakang serta ruang kabin dengan penapis udara N95.

Untuk varian teratas 1.5L TGDi, ia ditawarkan dengan enjin 1,477cc pengecas turbo suntikan terus dengan kuasa 177PS pada 5,500 rpm dan tork 255 pada 1,500 hingga 4,000 rpm.

Untuk varian Standard, Executive dan Premium, ia dilengkapi enjin 1,477 pengecas turbo 'multipoint' dengan kuasa 150PS dan tork 226Nm.

Semua model dengan transmisi dwi-klac (DCT) tujuh kelajuan dan mod manual serta pacuan dua roda (2WD) hadapan.

Ia dijual pada harga RM79,200 (Standard), RM84,800 (Executive), RM93,200 (Premium) dan RM103,300 (Flagship) (atas jalan tanpa insurans).

Ia turut didatangkan dengan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan.

HONDA HR-V.
HONDA HR-V.

HONDA HR-V

Mula memasuki pasaran tempatan pada 2014, ia menampilkan pilihan SUV yang kompak dan praktikal buat jenama Honda di negara ini.

Honda HR-V datang dengan empat varian iaitu 1.8L E, V, RS dan Hibrid yang menampilkan kemasan dengan ciri enjin yang berbeza.

Untuk rekaan luaran, ia datang dengan lampu utama LED serta gril hadapan signatur. Bagi varian RS, ia dilengkapi elemen yang lebih sporty.

Ruang dalaman ciri fleksibel antara kelebihan model ini dengan kapasiti but 437 liter dan 1,032 liter jika kerusi belakang direbahkan.

Ia juga datang dengan sistem paparan audio tujuh inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas USB dan empat pembesar suara selain kerusi kulit dan untuk pemandu dengan larasan elektrik lapan ketetapan (varian V dan RS).

Untuk varian Honda HR-V E, V dan RS, ia dijana dengan enjin 1,799 liter, SOHC i-VTEC, menghemburkan kuasa 142PS pada 6,500rpm dan tork 172Nm pada 4,300 rpm serta transmisi CVT.

Varian Sport Hybrid i-DCD dilengkapi enjin 1,496cc DOHC i-VTEC. Ia menjana kuasa 152PS dan tork 190Nm (dengan motor elektrik) dan transmisi tujuh kelajuan DCT.

Untuk pasaran Malaysia, Honda HR-V dijual pada harga RM104,000 (E), RM113,421 (V) dan RM118,581 (RS). Harga Hibrid akan diumumkan kelak.

MAZDA CX-30.
MAZDA CX-30.

MAZDA CX-30

Model ini diperkenalkan pada 2019 dengan ciri rekaan Kodo Mazda yang menjadi asas kepada kebanyakan jenama itu di seluruh dunia.

Ini diserlahkan dengan konsep rekaan premium dan menyerlah terutama pada bahagian hadapan gril dan bampar.

Ia ditawarkan dengan enjin petrol 1,998 Skyactiv-G 2.0L dengan VVT. Ia mampu menjana 162 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm dan tork 213Nm pada 4,000 rpm.

Untuk Skyactiv-D 1.8L, ia ditawarkan dengan enjin diesel 1,759cc pengecas turbo yang menjana 114 kuasa kuda (hp) pada 4,000 rpm dan tork 270Nm pada 1,600 hingga 2,600 rpm.

Ruang dalaman dilengkapi lima tempat duduk manakala untuk pemandu, ia dilengkapi kerusi larasan elektrik 10 ketetapan.

Ia juga datang dengan sistem multimedia bersaiz 8.8 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Empat varian ditawarkan iaitu Mazda CX-30 Skyactiv-G 2WD dijual pada harga RM144,759, 2.0 High (RM159,109), 2.0 High AWD (RM170, 459) dan 1.8 High (RM167,673),

Mazda CX-30 adalah import sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan dijual pada harga RM143,059 dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 100,000km, yang mana lebih dahulu.

HYUNDAI Kona.
HYUNDAI Kona.

HYUNDAI KONA

Rekaan Hyundai Kona tampil berbeza dan sporty serta menyerlah sebagai SUV 'crossover' dengan ciri terkini.

Ia memasuki pasaran tempatan pada tahun lalu manakala model peningkatan diperkenalkan pada April tahun ini.

Dua varian ditawarkan iaitu 2.0 dan 2.0 Active dengan ciri kemasan dan luaran yang berbeza.

Rekaan luaran diserlahkan ciri sofistikated dengan elemen teknologi termaju seperti lampu hadapan dan lampu nyalaan siang pada kedudukan

berbeza dan rim aloi reka bentuk unik bersaiz 18 inci (Active).

Pada bahagian belakang, lampu LED dan elemen difusser serta spoiler atas pada pintu but menyerlah gaya.

Ruang dalaman kemasan fabrik dan kulit untuk varian Active yang juga dengan meter LCD digital penuh TFT bersaiz 10.25 inci dan dilengkapi sistem infotainmen lapan inci dengan Adroid Auto dan Apple CarPlay sebagai ciri standard.

Untuk enjin keduanya dipacu dengan Smartstream G2.0 Atkinson dijana 1,999cc, DOHC, dengan kuasa 149PS pada 6,200 rpm dan tork 180Nm pada 4,500rpm.

Ia juga datang dengan transmisi IVT Smartstream CVT dan empat mod pemanduan (Normal, Eco, Sport, Smart) dan mod cengkaman (Snow, Mud, Sand).

Hyundai Kona 2.0 dijual pada harga RM119,888 dan 2.0 Active pada harga RM136,888 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

 KIA Seltos.
KIA Seltos.

KIA SELTOS

Sebuah lagi SUV kompak jenama Korea dengan KIA Seltos yang membuat penampilan pertama pada tahun lalu dan dilancarkan secara rasmi tahun ini.

Ia juga tampil elemen rekaan unik dan ciri teknologi terkini dengan dua varian iaitu EX dan GT Line yang diserlahkan kualiti kemasan dan pembuatan bermutu tinggi.

Lampu hadapan LED tirus dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan gril radiator signatur jenama KIA serta kombinasi lampu belakang dan lampu membelok 3D juga, difusser dan padanan rim aloi 17 inci.

Untuk kabin dengan sistem infotainmen bersaiz lapan inci dengan kluster meter 3.5 inci dan untuk EX dengan tujuh inci serta varian GT Line yang menerima Paparan Head Up (HUD) bersaiz lapan inci.

Kedua-dua varian dengan enjin Gamma 1.6 liter MPI petrol yang menjana kuasa 123PS pada 6,300rpm dan tork maksimum 150.7Nm pada 4,850rpm serta kotak gear transmisi automatik enam kelajuan.

Model ini adalah import sepenuhnya (CBU) dari India.

Kia Seltos Serba Baharu ini dijual pada harga RM115,888 (EX) dan RM133,888 (GT Line) (semua harga atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan pengeluar.

RENAULT Captur.
RENAULT Captur.

RENAULT CAPTUR

Model Renault Captur memasuki pasaran tempatan pada 2015 dengan ciri rekaan crossover urban ranggi.

Menyerlahkan gaya Eropah ia dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED serta belakang yang semuanya direka tampil premium.

Padanan rim aloi 17 inci, serta rona luaran dua tona menyerlahkan gaya sporty kenderaan ini.

Pada ruang kabin dengan lima tempat duduk kulit sistem infotainmen bersaiz tujuh inci skrin sesentuh dan fungsi navigasi, hiburan serta Bluetooth.

Untuk pemanduan, ia dijana dengan enjin 1,197cc TCe pengecas turbo menjana 120PS pada 5,000 rpm dan tork 205Nm pada 2,000 rpm dengan transmisi enam kelajuan Dwi-Klac Efisien (EDC) automatik.

Ia juga dengan mod ECO menawarkan penggunaan bahan api lebih efisien dan fungsi enjin mula-henti automatik ketika berhenti di lampu isyarat atau kesesakan jalan raya.

Untuk pasaran Malaysia, Renault Captur ditawarkan melalui satu varian iaitu Captur Trophy yang dijual pada harga RM93,400 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan lima tahun pengeluar atau 150,000km yang mana lebih dahulu.

Selain pembelian, ia juga ditawarkan secara tiga pilihan langganan iaitu Trail, Fixed dan Switch.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 6:40 AM