HARRY Kane (kiri) dan Jude Bellingham menjaringkan gol untuk England. FOTO AFP
HARRY Kane (kiri) dan Jude Bellingham menjaringkan gol untuk England. FOTO AFP
AFP

Blankenhain: UEFA akan melakukan siasatan disiplin terhadap gaya yang dibuat oleh Jude Bellingham selepas dia menjaringkan gol menerusi tendangan akrobatik menakjubkan untuk memastikan England meneruskan perjuangan di Euro 2024.

Pemain tengah Real Madrid itu menjaringkan gol pada minit ke-95 untuk menyamakan kedudukan sebelum England menewaskan Slovakia 2-1 selepas masa tambahan, tengah malam tadi sekali gus bakal bertemu Switzerland di suku akhir.

Selepas gol itu, Bellingham dilihat meniru aksi memegang kelengkang sambil kelihatan menghadap ke arah bangku simpanan Slovakia.

Dalam satu kenyataan, penganjur kejohanan UEFA berkata, satu penyiasatan sudah dimulakan terhadap kemungkinan pelanggaran peraturan asas kelakuan sopan oleh Bellingham, yang didakwa berlaku dalam perlawanan itu.

Bellingham bagaimanapun menerusi akaun media sosialnya menafikan tuduhan bahawa perlakuan itu ditujukan kepada pemain dan barisan kejurulatihan Slovakia.

"Satu isyarat gurauan kepada beberapa rakan rapat yang menyaksikan perlawanan itu. Tiada apa-apa selain rasa hormat terhadap cara Slovakia bermain malam ini," kata Bellingham di X.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:52 PM