Turse (kanan sekali) selepas pelancaran Ranger Raptor generasi baharu.
Turse (kanan sekali) selepas pelancaran Ranger Raptor generasi baharu.
Lizam Ridzuan


Sepang: Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, memperkenalkan model trak pikap Ranger Raptor generasi baharu.

Pengarah Urusannya, Turse Zuhair berkata, model itu yang disuntik dengan DNA Ford Performance, sebagai tanda aras bagi kenderaan prestasi berkelajuan tinggi yang dibangunkan untuk pencinta cabaran off-road.

"Dengan teknologi lebih pintar mengawal perkakasan generasi baharu yang lebih tangkas ini, Ranger Raptor dilengkapi kuasa tinggi dengan ketepatan mekanikal seta teknikal yang menghasilkan sebuah Ranger termaju.

"Kami memberi tumpuan terhadap prestasi sebenar kenderaan melalui model ini, yang mana pelanggan boleh menikmatinya terus tanpa sebarang modifikasi," katanya pada majlis pelancaran model terbaharu itu.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Pasaran Pengedar Ford Asia Pasifik, DJ Simpson.

Ranger Raptor generasi baharu dilengkapi enjin 3.0 liter petrol V6 turbo berkembar terkini yang ditala oleh Ford Performance untuk kuasa 397 PS pada 5,650 rpm dan 583Nm tork pada 3,500 rpm.

Ia juga dilengkapi transmisi automatik 10 kelajuan Ford, penyerap hentakan Fox 2.5 inci Live Valve sebagai ciri utama selain tujuh mod pemanduan tersedia dan sistem ekzos aktif.

Ia turut dibangunkan dengan rekaan luaran sentuhan lasak dan maskulin, dengan lengkung roda lebih ketara dan berimej lebar, rim aloi 17 inci dan lampu utama Matrix LED dan lampu nyalaan siang (DRL) bentuk C.

Bahagian kabin dilengkapi sistem infotainmen 12 inci Ford Sync dan paparan kluster meter 12.4 inci TFT, kamera 360 darjah dan kemasan warna Ebony serta perincian Code Orange.

Ford Ranger Raptor Generasi Baharu ditawarkan pada harga bermula RM259,888 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 2:14 PM