Ford Everest Serba baharu ditawarkan menerusi tiga varian iaitu 2WD Sport, 4WD Trend dan Titanium.
Ford Everest Serba baharu ditawarkan menerusi tiga varian iaitu 2WD Sport, 4WD Trend dan Titanium.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar kenderaan Ford di Malaysia melancarkan model Ford Everest Serba Baharu 2022 ke dalam pasaran tempatan.

Pengarah Urusannya, Turse Zuhair berkata, model ini disasarkan buat pelanggan yang mempunyai kesibukan karier dan gaya hidup sosial serta aktif beriadah yang memerlukan kenderaan yang melengkapi tujuan itu.

"Antara pembaharuan yang dilakukan ialah jarak roda yang dipanjangkan 50 milimeter (mm) untuk kawalan laluan jalan raya dan lasak yang lebih baik.

"Ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu Single Turbo dan Bi-Turbo dengan janaan tork 405Nm atau 500Nm," katanya.

Ford Everest Serba baharu ditawarkan menerusi tiga varian iaitu 2WD Sport, 4WD Trend dan Titanium sebagai varian tertinggi.

Ia juga dilengkapi pakej keselamatan bantuan pemandu teknologi baharu seperti BLIS, Bantuan Parkir Aktif 2.0, bantuan stereng mengelak dan bantuan brek mengelak perlanggaran.

Kenderaan ini juga dihasilkan dengan rekaan lebih ranggi dan kemas serta ciri DNA terbaharu Ford dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) bentuk C yang bersepadu dengan gril hadapan.

Ruang kabin dengan kapasiti tujuh tempat duduk, skrin sentuh menegak 12-inci untuk Titanium (10.1-inci bagi Trend dan Sport), dengan sistem infotainmen Ford SYNC 4A serta keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto dengan lapan pembesar suara.

Kedua-dua varian dilengkapi sistem 4x4 elektronik separuh masa shift-on-the-fly (ESOF) dengan e-Locking Rear Differential dan enam pilihan mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sands.

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) ini dijual untuk pasaran Malaysia pada harga RM263,888 (Sport), RM281,888 (Trend) dan RM308,888 (Titanium).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 2:12 PM