Aizat Sharif


Kangar: Pemilik syarikat yang juga anak kepada Menteri Besar Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 35, mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Syafeeq didapati dengan niat memperdayakan Nurul Nabilah Mohd Sukri yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dengan memberikan satu dokumen Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 14 Februari tahun ini berjumlah RM19,505.10 atas nama Mohd Farid Abdul Hamid.

Pemberian dokumen itu adalah berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Tuanku Raja Perlis di HTF yang didapati mempunyai butiran palsu.

Mohd Syafeeq melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kangar pada 19 Februari tahun ini.

Dia didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadhly Yaacob.

Rehab dalam hujahan memohon mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Selain itu, dia turut meminta mahkamah supaya mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri pada Pejabat SPRM Kangar setiap bulan.

Sementara, Mohd Fadhly dalam mitigasi balasnya pula berkata, walaupun anak guamnya itu bersetuju dalam sesetengah permohonan ditetapkan Rehab namun dia membantah permohonan jaminan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM itu.

Dia meminta mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh sekitar RM5,000 hingga RM7,000 dengan alasan tertuduh hanyalah mempunyai pendapatan sekitar RM1,500 sebagai seorang petani dan juga penjual gas berlesen sejak 2014.

Selain itu, jumlah RM30,000 jaminan yang dikemukakan daripada pihak pendakwaan dilihat sebagai agak tinggi berbanding jumlah tuntutan yang dituduh pada prosiding hari ini iaitu RM19,505.10.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh juga dikehendaki melapor diri di Pejabat SPRM Kangar setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 28 Jun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan yang dikemukakan mahkamah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 10:45 AM