GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif

Kangar: Bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender bagi kerja meroboh dan membina bangunan Arked Niaga 2 Padang Besar, Titi Tinggi pada 2019.

Tertuduh, Syed Aminuddin Syed Ali, 51, dari Bukit Kayu Hitam, Kedah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Syed Aminuddin didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bank milik syarikat Amza Wawasan Enterprise bertarikh Mac 2019 hingga Mei 2019 di mana dokumen itu adalah palsu bagi mendapatkan tender kerja cadangan meroboh dan membina bangunan arked niaga itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan pada 12 Julai 2019 di Perbadanan Kemajuan Negeri Perlis (PKENPs), di sini.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Aminuddin boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili peguam Nur Diyana Ab Shukor.

Rehab memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala Nur Diyana merayu ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya sudah kehilangan kerja sejak 2021 akibat lesen kontraktornya disenarai hitam.

Nur Diyana turut memaklumkan anak guamnya yang turut mempunyai penyakit 'gout' mempunyai dua anak dan menjadi penanggung tunggal nafkah keluarga selain menjaga ibunya yang sakit.

Mahkamah kemudian mengarahkan ikat jamin RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April hadapan.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 2:41 PM