Aizat Sharif


Kangar: Anak kepada seorang Menteri Besar antara enam individu yang direman sehingga esok oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Dalam penahanan itu juga, turut direman adalah setiausaha sulit kanan seorang Menteri Besar.

Sumber berkata, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas tertuduh dibawa ke mahkamah, 8.45 pagi tadi.

"Suspek yang ditahan berusia antara 27 hingga 37 tahun dan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini.

"Siasatan dipercayai juga menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.

"Suspek yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis," katanya.

Katanya, suspek ditahan sekitar jam 7 hingga 8 pagi, semalam sekitar Perlis.

"Siasatan dilaksanakan Seksyen 18 Akta SPRM.

"Jumlah anggaran keseluruhan projek berkenaan adalah bernilai RM600,000," katanya.

Ana Rozana kenudian membenarkan permohonan reman yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat, Chin Ching Yuen manakala kesemua tertuduh pula diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:13 PM