GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Anak kepada Menteri Besar Perlis akan didakwa di mahkamah esok, berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Sumber berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Lelaki itu yang juga pemilik syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis pada jam 8 pagi.

"Turut akan didakwa adalah seorang bekas setiausaha politik di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi," katanya.

Bagi kes membabitkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli pula, sumber berkata, siasatan lanjut masih dijalankan SPRM.

Pada 24 April lalu, SPRM menahan reman enam individu termasuk anak Menteri Besar Perlis yang juga menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 37 tahun itu disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkait pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Bagaimanapun, mereka dilepaskan dengan jaminan sebaik tamat tempoh reman selama tiga hari.

Susulan siasatan yang dijalankan, SPRM pada 30 April lalu memanggil dan merakam keterangan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pemimpin kanan terbabit ditahan kira-kira jam 11 pagi semasa hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, sebelum dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 7 malam.

Terdahulu, SPRM dilapor mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air, kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 2:52 PM