(Gambar kiri) ASMAWATI bersama suami, Md Faizul. (Gambar kanan) MURID Orang Asli SK Balar berbuka puasa. FOTO Ihsan Asmawati Ahmad
(Gambar kiri) ASMAWATI bersama suami, Md Faizul. (Gambar kanan) MURID Orang Asli SK Balar berbuka puasa. FOTO Ihsan Asmawati Ahmad
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Biarpun tanpa bazar dan keluarga tersayang, namun suasana Ramadan tetap meriah buat guru wanita yang mengajar di sekolah pedalaman di Gua Musang, Kelantan ini apabila dia dan kakitangan lain berbuka puasa bersama murid Orang Asli beragama Islam hampir setiap hari.

Itu pengalaman menarik Asmawati Ahmad, 44, cekal menjalani ibadat puasa sepanjang enam tahun ibu kepada dua anak itu menabur bakti mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar bermula 2018 sehingga penghujung tahun lalu.

Wanita berasal dari Kedah itu berkata, dia dan suami, Md Faizul Abdullah @Yunus, 47, yang turut berkhidmat di sekolah sama juga pernah berbuka puasa di tengah kawasan hutan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanah Merah.

Ketika ini, pendidik yang memulakan perkhidmatannya pada 2001 bertukar sekolah ke SK Bihai, Gua Musang bermula tahun ini manakala suami yang kini berkhidmat sebagai guru Penolong Kanan Pendaftaran juga sudah bertukar ke sekolah sama.

Menurutnya, biarpun suasana Ramadan di pedalaman tidak 'semewah' di luar dengan pelbagai menu dan juadah terutama yang hanya boleh didapati pada bulan itu saja, namun mereka tetap merasakan kemeriahannya dengan cara tersendiri.

"Berkhidmat di SK Balar memang banyak meninggalkan kenangan terutama ketika Ramadan. Kami menempuhnya dengan cabaran namun ia pengalaman paling berharga dan bermakna untuk saya, malah hubungan dengan anak murid memang rapat sehingga mereka mahu makan bersuap.

"Sebenarnya tiada beza suasana di kawasan pedalaman dan Orang Asli biarpun kami meraikan Ramadan secara sederhana tetapi meriah apabila semua guru, pekerja dewan makan dan murid Orang Asli akan berbuka puasa dan bersahur bersama.

"Biasanya saya dan cikgu lain akan memasak menu masing-masing dan kami akan bawa ke dewan makan untuk 'potluck' dan dijadikan lauk tambahan untuk berbuka bersama murid beragama Islam serta pekerja dewan makan," katanya.

Menurutnya, mereka akan berbuka puasa bersama hampir setiap hari dan yang lebih menggembirakan apabila ada murid Orang Asli yang bukan beragama Islam mahu mencuba dan menyertai mereka berpuasa serta akan berbuka bersama.

Katanya, mereka akan menunaikan solat Tarawih bersama murid yang meninggalkan nostalgia paling bermakna untuknya sepanjang berkhidmat di pedalaman yang menjentik hatinya untuk sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT.

"Walaupun tidak dapat merasai kemeriahan bazar Ramadan dan pelbagai menu beraneka jenis pada bulan itu, namun bersama murid yang sudah dianggap seperti anak sendiri juga terasa meriah dan dapat mengubat rindu pada keluarga.

"Di sana juga kami akan mengadakan majlis berbuka puasa sebelum masing-masing akan pulang ke kampung untuk beraya dan kami akan memasak juadah pilihan yang sudah ditempah awal kerana bahan mentah akan dihantar setiap minggu.

"Ia menjadi hari paling meriah buat kami dan biasanya kami akan jemput murid beragama Islam yang tinggal berhampiran sekolah untuk menyertai kami. Kami akan meraikan murid yang berpuasa penuh sebagai pembakar semangat mereka," katanya

Menurut Asmawati, ketika itu dia dan suami masing-masing tinggal di kuarters dalam sekolah berkenaan manakala anak sulung ketika itu bersekolah asrama dan anak bongsu yang masih di sekolah rendah dijaga adiknya di Tanah Merah.

"Setiap bulan termasuk Ramadan kami akan pulang ke rumah di Tanah Merah untuk bertemu anak. Perjalanan keluar dan masuk memang mencabar (dengan keadaan jalan dan melalui hutan) apatah lagi ketika Ramadan dengan cuaca panas.

"Kami sewa pacuan empat roda kalau kenderaan sendiri rosak yang perjalanannya mengambil masa lebih tiga jam dan kalau kenderaan tersangkut atau ada masalah lain kami bermalam di hutan. Saya juga pernah berbuka puasa dalam hutan, hanya minum air dan makan roti sebagai alas perut (sebelum meneruskan perjalanan pulang)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 7:00 AM