HELIKOPTER Nuri TUDM mendarat di KD Mahawangsa selepas membuat tinjauan dan rondaan di perairan Selat Melaka.
HELIKOPTER Nuri TUDM mendarat di KD Mahawangsa selepas membuat tinjauan dan rondaan di perairan Selat Melaka.
PELBAGAI juadah berbuka disediakan untuk anak kapal untuk elak kebosanan.
PELBAGAI juadah berbuka disediakan untuk anak kapal untuk elak kebosanan.
 ANAK kapal KD  Mahawangsa yang berbuka puasa di atas dek.
ANAK kapal KD Mahawangsa yang berbuka puasa di atas dek.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Laut bergelora, kapal dipukul ombak setinggi hampir 10 meter selain cuaca panas di tengah samudera.

Itu antara cabaran dilalui 159 anak kapal KD Mahawangsa milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika berpuasa dan bertugas di tengah lautan.

Mereka tetap komited menunaikan tanggungjawab menjaga perairan negara sambil berpuasa walaupun berada di bawah terik matahari serta cuaca tidak menentu.

Laskar Kanan Zaifarhisyam Razal berkata, ini adalah tahun ketiga baginya berpuasa di atas KD Mahawangsa sambil melaksanakan tugas.

“Syukur selepas tiga tahun berkhidmat, saya semakin serasi dengan situasi begini walaupun merindui saat berpuasa bersama keluarga.

“Walaupun tidak bersama keluarga namun keadaan berpuasa di atas kapal tetap meriah berikutan kami semua bagaikan keluarga besar terutama ketika berbuka, bersahur dan bertarawih,” katanya.

Zaifarhisyam berkata, rutin Ramadan di atas kapal tidak menjadi halangan kepadanya dan rakan setugas untuk beribadah di bulan Ramadan.

“Sebagai anggota TLDM, pastinya kami perlu sentiasa mempersiapkan diri daripada aspek mental dan fizikal,” katanya.

Sementara itu Laskar Kanan Mohd Zamin Abu Hasan berkata, dia berusaha memastikan juadah hidang berbuka puasa dan bersahur disediakan di atas kapal itu mampu membuka selera semua anak kapal KD Mahawangsa.

“Saya akan pastikan juadah berbuka dan bersahur adalah terbaik bagi memastikan setiap anak kapal dapat menikmati hidangan sama seperti berada di darat.

“Kebiasaannya menu disediakan adalah berbeza setiap hari untuk mengelakkan anak kapal jemu dengan hidangan sama,” katanya.

Manakala bagi Leftenan Mohd Fahrul Razi yang berkhidmat lebih 10 tahun di atas kapal itu, situasi berpuasa di atas kapal sudah sebati dengan dirinya.

“Sebelum ini saya berkhidmat di kapal lain dan ini kali pertama saya berpuasa di KD Mahawangsa namun keadaan dan situasinya tetap sama,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana isterinya turut berkhidmat sebagai pegawai TLDM dan amat memahami tugasnya yang sering tidak dapat balik berbuka puasa bersama.

KD Mahawangsa yang ditauliahkan pada Oktober 1981 dibina berdasarkan dua peranan utama iaitu sebagai platform pemerintah dan logistik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 10:10 AM