Nur Amalina (tengah) bersama Orang Asli kaum Temiar bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa di Kampung Pelug, Gua Musang. FOTO Ihsan Nur Amalina Ismail
Nur Amalina (tengah) bersama Orang Asli kaum Temiar bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa di Kampung Pelug, Gua Musang. FOTO Ihsan Nur Amalina Ismail
Siti Rohana Idris


SEJAK lima tahun lalu, Nur Amalina Ismail yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu menyambut Aidilfitri bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Pelug, Gua Musang.

Bukan saja berhari raya bersama, Nur Amalina, 27, turut berpuasa di kampung kelahiran suaminya, Mohd Fardhu Angah, 29, yang juga Orang Asli dari suku kaum Temiar yang sudah memeluk Islam sejak 2005.

Nur Amalina yang bekerja sebagai penggerak masyarakat Orang Asli Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, dia seronok berpuasa bersama masyarakat itu walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan tiada aneka juadah seperti orang lain yang bukan berada di kawasan pedalaman.

“Sejak mengikut suami tinggal di kampung halamannya di sini, kami bertindak sebagai penggerak masyarakat untuk menjaga serta menguruskan penduduk di dua kampung iaitu Kampung Pelug dan Pos Tuel.

“Di Kampung Pelug, terdapat 327 penduduk Orang Asli manakala Pos Tuel pula 300 orang dan mereka beragama Islam.

“Sepanjang Ramadan, saya dan suami perlu memantau ibadah puasa mereka kerana tidak semua dalam kalangan mereka berpuasa, namun bilangannya semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya ketika dihubungi.

Nur Amalina berkata, dari segi berbuka puasa, masyarakat Orang Asli menyediakan masakan ringkas yang mana makanan ruji mereka selain nasi adalah ubi rebus, namun ada juga memasak menu sedikit istimewa berbanding hari biasa antaranya pucuk ubi masak lemak atau digoreng bersama ikan bilis dan jika ada telur atau ikan sungai, ia adalah bonus.

Menurutnya, dia kini dalam usaha untuk menggalakkan masyarakat Orang Asli di dua kampung itu supaya lebih ramai berpuasa dan antara langkah yang dilihat berkesan adalah mengadakan majlis berbuka puasa.

“Sepanjang dua minggu berpuasa ini, hanya sekali sempat saya adakan majlis berbuka puasa di Kampung Pelug yang mana penduduk bergotong-royong memasak sup ayam dan pucuk ubi yang digoreng bersama ikan bilis.

“Mereka sangat gembira malah penat berpuasa seharian tidak terasa apabila bergotong-royong menyediakan juadah berbuka,” katanya.

Nur Amalina bersama suami dan dua anak mereka di Kampung Pelug, Gua Musang. FOTO Ihsan Nur Amalina Ismail
Nur Amalina bersama suami dan dua anak mereka di Kampung Pelug, Gua Musang. FOTO Ihsan Nur Amalina Ismail

Menurut anak kesembilan dari 10 beradik itu, dia tidak bergantung kepada mana-mana pihak sebaliknya bergerak sendirian mengumpul dana untuk meraikan ibadah puasa masyarakat Orang Asli di dua kampung itu.

Katanya, dana itu diperoleh melalui rakan serta kenalan menerusi laman sosialnya yang memohon sumbangan kewangan agar majlis berbuka puasa dapat diadakan lagi.

“Bukan tiada badan bukan kerajaan (NGO) yang masuk ke perkampungan masyarakat Orang Asli dan menyumbangkan juadah berbuka puasa tapi mereka (Orang Asli) lebih suka memasak menu sendiri,” katanya.

Nur Amalina yang mempunyai dua cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama jejaka suku Temiar iaitu Nur Ain Farhana Mohd Fardhu, 5 dan Mohammad Amsyar, 3, berkata, Aidilfitri kali ini disambut di Kampung Pelug dan hari raya kedua baru pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu.

Katanya, Aidilfitri di perkampungan Orang Asli tidak kurang meriah sambutannya dengan semua penduduk mengenakan baju baru dan memasak pelbagai juadah istimewa.

“Semua mengadakan rumah terbuka dan antara menu yang paling digemari adalah nasi dan ayam yang dimasak dalam buluh.

“Melihatkan keceriaan mereka menunaikan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri adalah satu kepuasan kepada saya dan suami yang selama ini tidak pernah jemu cuba mendekatkan mereka dengan Islam,” katanya yang kini hamil anak ketiga.

Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan untuk majlis berbuka puasa bagi masyarakat Orang Asli di dua kampung itu boleh menyumbangkannya menerusi akaun Bank Muamalat atas nama Nur Amalina Ismail, 03030003682728.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 2:31 PM