Redzuan Muharam


Mersing: Selepas terbabit dalam kemalangan 13 tahun lalu, kehidupan Zulhairi Muda berubah apabila hilang keupayaan kerana urat saraf tangannya putus dan patah tulang paha.

Keadaan itu menyebabkan jari kanannya tidak dapat berfungsi dan hanya dapat memanfaatkan sebelah tangan saja hingga perlu memakai anduh.

Meskipun begitu, anak bongsu daripada lima beradik itu enggan berpeluk tubuh sebaliknya gigih mencari rezeki bagi menyara diri dan isterinya, Nurul Effi Azira Mohd Saleh, 29, dengan berniaga cendol yang istimewa kerana mengandungi ramuan santan kelapa sawit.

Zulhairi berkata, perniagaan diberi nama Cendol Padu Mersing di Kampung Seri Lalang, di sini dijalankan sejak empat tahun lalu di tapak milik Majlis Daerah Mersing (MDM).

Dia menggunakan wang simpanan termasuk hasil elaun diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan lain sebagai modal.

"Dulu, saya normal dan pernah bekerja di bahagian bagasi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang selama beberapa tahun selepas tamat persekolahan.

"Ketika pulang  bercuti, saya terbabit dalam kemalangan apabila motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah kereta.

"Sejak itu, saya tak dapat bekerja dan sukar lakukan kerja berat malah dua tahun juga berehat sebelum aktif semula dengan bantu kakak berniaga.

"Pada 2017, saya berkahwin dan Alhamdulillah, dia (isteri) dan keluarga yang jadi tulang belakang kerana banyak bantu saya terutama di gerai memandangkan saya tak boleh buat semua sendiri.

Zulhairi turut mengupah seorang pekerja untuk membantu mereka gerai.

"Jadi, sementara isteri ambil pesanan dan pekerja membantunya, saya pula akan hantar cendol dipesan pelanggan kerana turut tawarkan khidmat bayaran sewaktu penghantaran di kawasan sekitar, "katanya.

Dalam usaha mempromosikan perniagaannya, Zulhairi menggunakan platform Facebook (Fb), TikTok dan WhatsApp sebagai medium untuk membuat hebahan mengenai gerainya yang terletak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mersing, di sini.

"Alhamdulillah, penerimaan pelanggan baik setakat ini cuma biasalah, berniaga ini ada pasang surutnya.

"Cuma, dengan adanya platform TikTok, saya dapat ketengahkan perniagaan hingga terima kunjungan pelanggan dari Singapura yang datang ketika bercuti di sini," katanya.

Bagaimanapun, Zulhairi mengakui bukan mudah untuknya sampai ke tahap ini apabila berdepan segelintir individu lyang memperlekehkannya kerana kekurangan yang ada

"Memang ada yang pandang rendah kemampuan saya dan ia sedikit sebanyak mengganggu emosi hingga hampir putus asa.

"Mujur kesedihan itu cuma seketika kerana dapat semangat bangkit semula hasil kesedaran diri sendiri, keluarga dan rakan.

"Saya nak pandang ke depan saja kerana jauh lagi perjalanan dan kalau boleh, saya nak kembangkan lagi perniagaan jika ada rezeki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 8:00 PM